Oleh: Mike Carlos Kunjan, Nur Syamimi Athilah & Muhammad Nur Rafiuddin.
Tanjong Malim: Olimpiade Siswa merupakan pertandingan yang dianjurkan oleh Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 20 Januari yang lalu. Program ini mendapat kerjasama Pusat Sukan UPSI, Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK), Nas Entertainment, Taipan Ventures, Onexox, Ka Chuang Trading dan Kafe Halia Corner dalam menyokong hasrat Kementerian belia dan sukan bagi melahirkan mahasiswa yang mempunyai ketahanan mental dan fizikal melalui platform sukan.
Program ini telah berlangsung di Arena Pusat Sukan UPSI dengan penglibatan 13 pasukan dalam kalangan mahasiswa UPSI dan juga komuniti setempat. Antara lain objektif program ini bertujuan mengeratkan silaturahim antara mahasiswa di samping mencungkil bakat baharu dalam Sukan Futsal. Keseluruhan pasukan telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam setiap perlawanan sehingga berbaki beberapa pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir perlawanan.
Pasukan BR Vamos telah memberikan saingan sengit apabila mencatatkan kemenangan lima kali berturut-turut dalam perlawanan kumpulan. Pasukan ini juga turut mempamerkan aksi kawalan bola yang mengagumkan membuatkan setiap serangan membuahkan hasil dan memberi mata apabila berjaya menembusi gawang pihak lawan. Ini turut diakui oleh Pengarah Program, Mohammad Amirul Fitri Mohd Rosdi, “Pergerakan yang lincah dan disokong oleh strategi yang mantap membuatkan pasukan ini sukar dikalahkan.”
Pasukan BR Vamos telah menewaskan pasukan Cotek dengan kutipan mata (7-4) sekaligus dinobatkan sebagai Johan Olimpiade Siswa serta berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000. Pasukan Cotek tidak berputus asa dan terus mengekalkan semangat kesukanan menjadikan Pasukan Cotek berada di tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM700 manakala pasukan Cheras Ginga berada di tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300. “Pertandingan ini bukan sekadar untuk melahirkan atlet futsal bahkan mengukuhkan jalinan ukhuwah dalam kalangan Mahasiswa UPSI,” ujar Penasihat Program, Firdaus Jasmani.
Diharapkan program seperti ini mampu memberikan impak positif dalam melahirkan mahasiswa yang aktif dalam bidang sukan di samping melatih bakat mahasiswa dalam menjayakan program melalui proses perancangan, pentadbiran, pengurusan dan penyelarasan sepanjang olimpiade siswa ini berlangsung.