Artikel oleh: Farhanis Ahamad
26-29 Januari 2024, Pulau Pangkor – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI menyambut baik hasrat universiti dalam melahirkan pemimpin ke arah pendidikan. Seramai 30 orang MPP UPSI telah menjalani kem pemantapan di Purnama Beach Resort selama 4 hari 3 malam. Kem ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada MPP tentang pengurusan sesebuah organisasi dan amanah dalam menjadi seorang pemimpin yang pandangan yang terbuka.

MPP turut disantuni oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin. Dalam amanat beliau, pemimpin adalah seorang yang memperlihatkan peribadi yang berwibawa dan mulia kepada orang lain bukan sahaja kepada mahasiswa malah kepada universiti, komuniti serta kepada agama. Beliau menitik beratkan agar mereka menjadi pemimpin yang teguh dan tidak mudah terpengaruh dengan stigma yang tidak jelas. Beliau juga sempat berpesan agar mereka sentiasa berpandangan jauh ke hadapan bagi merealiasikan lagi universiti yang mampan ke arah pendidikan dan holistik.
Sepanjang program, mereka diberi kesempatan untuk belajar dan memahami tentang pelbagai kemahiran bagi mempersiapkan diri mereka dalam mendepani cabaran dan liku-liku sepanjang menjadi pemimpin. Pelbagai aktiviti menarik termasuk aktiviti lasak telah dijalankan oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar bagi memberi peluang kepada mereka untuk merehatkan minda disamping membentuk sidang yang mampan. Bagi memastikan Kem Pemantapan berjalan lancar, Campus Election Organization UPSI turut dibantu oleh barisan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar sebagai urus setia kem pemantapan tersebut.

MPP UPSI juga berkesempatan untuk menerima watikah pelantikan yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin. Watikah pelantikan dimeriahkan lagi dengan kehadiran barisan MPP dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Utara Malaysia. Bacaan ikrar yang dilafazkan oleh 30 orang barisan pemimpin pelajar UPSI itu menandakan secara rasminya mereka telah dilantik untuk menggalas amanah sebagai Majlis Perwakilan Pelajar UPSI. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin dalam ucapan ringkas beliau berkata “Saya amat terharu dengan kehadiran UTHM dan UUM dalam memeriahkan lagi majlis pada malam ini dan dalam kesempatan ini juga saya amat berterima kasih kepada barisan pengurusan yang telah menjayakan kem selama 4 hari 3 malam ini”.

