Tanjong Malim: Isu kepenggunaan masih kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat berikutan pelbagai kes penipuan terhadap pengguna yang dapat dilihat di media massa. Justeru, satu kajian kepenggunaan telah dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE),  Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tujuan mendidik pelajar sekolah tentang kesedaran dan amalan pengguna yang bertanggungjawab. Kumpulan penyelidik UPSI ini menggunakan platform Kelab Pengguna sekolah bagi mengadakan satu program pemindahan ilmu, terhadap guru dan pelajar bagi sekolah yang terpilih.

Program ini merangkumi penglibatan dua buah sekolah di Daerah Muallim yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim dan Sekolah Kebangsaan Hulu Bernam yang menghimpunkan seramai 23 orang guru dan 100 orang pelajar yang dijalankan selama lapan minggu sebanyak empat sesi di mana sesi satu dan dua dijalankan di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim manakala sesi ketiga dan keempat di Sekolah Kebangsaan Hulu Bernam.  Kaedah penyampaian yang berpusatkan pelajar digunakan bagi mengalakkkan penglibatan aktif semua pelajar agar pembelajaran lebih berkesan. Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran guru dan pelajar tentang kepentingan menjadi pengguna yang berilmu, berkemahiran dan bertanggungjawab.

Menurut Ketua Program, Prof. Madya Dr. Rohaila Yusof yang juga merupakan pensyarah di FPE, matlamat utama program ini dilaksanakan adalah bagi meningkatkan keupayaan pelajar dalam membuat keputusan sebagai pengguna yang bijak dan telah dibuktikan tercapai apabila mendapat maklum balas yang positif dari guru yang terlibat.

“Kesedaran serta kemahiran dalam bidang kepenggunaan perlu dipupuk bermula dari pelajar sekolah rendah melalui Kelab Pengguna. Dengan mencapai tujuan ini  pihak sekolah memberi kerjasama yang baik dalam penyediaan pelbagai aktiviti dan bahan pembelajaran yang menarik, interaktif dan bersepadu dengan konteks dunia yang sebenar,” ujarnya.

Program ini dinamakan ‘Amalan Kepenggunaan Bestari dalam Kalangan Pelajar Sekolah Rendah’ yang dijalankan dibawah geran penyelidikan Knowledge Transfer Programme oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPI), UPSI di mana kumpulan penyelidik UPSI telah menghasilkan ‘Modul Pengguna Bestari’ yang mengandungi pelbagai aktiviti menarik yang boleh digunakan bagi pengisian aktiviti ini.

Menurut Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim, Cik Nur Azlina Muzeri, program ini memberi peluang kepada murid untuk menambah pengetahuan tentang hal-hal yang berkait dengan situasi yang mereka mungkin hadapi.

“Program ini amat membantu pelajar untuk memahami konsep dan ilmu kepenggunaan kerana aktiviti yang dijalankan sangat relevan dan berkesan,” ujar beliau.

Fokus khusus kepada tajuk ‘Kemahiran Membuat Keputusan’ dan ‘Tanggungjawab Sosial dan Kewarganegaran’ dipilih kerana ia relevan dengan isu kepenggunaan pada hari ini.  Pelajar dilatih untuk menyenaraikan perkara dan faktor yang harus difikirkan sebelum membuat sesuatu keputusan, serta cara membuat pemilihan barangan yang bersesuaian dan selamat. Antara aktiviti yang dijalankan adalah aktiviti meneliti maklumat produk, dimana pelajar harus mengenalpasti kandungan, nutrisi, logo dan maklumat penting seperti tarikh luput dan lain-lain lagi yang terdapat pada bungkusan produk makanan. Kemahiran ini menekankan kepentingan membaca label serta memilih produk yang selamat  dan baik untuk kesihatan.

Manakala bagi  topik ‘Tanggungjawab Sosial dan Kewarganegaraan’, melatih pelajar agar mengetahui tindakan yang wajar dilakukan dalam situasi sosial dan untuk mengenal pasti elemen-elemen yang terdapat dalam aspek kewarganegaraan. Bagi sesi kedua ini, aktiviti mengkaji situasi sosial telah dijalankan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir tentang tanggungjawab yang wajar mereka ambil di dalam sesuatu situasi sosial tertentu, contohnya kes buli. Disamping mendapat ilmu kepenggunaan, pelajar juga berpeluang untuk menyampaikan pandangan mereka melalui sesi pembentangan hasil kerja kumpulan mereka.

Program ini diharapkan dapat mencetus kesedaran dan minat dikalangan pelajar sekolah rendah terhadap bidang ini, yang merupakan asas penting untuk memenuhi keperluan pasaran kerjaya masa hadapan dan mencapai matlamat pembangunan mampan negara.