TANJONG MALIM: Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Bizbot Technology telah melaksanakan projek pemindahan ilmu dua hala dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan.

Program dua hala ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kedua-dua belah pihak tentang aplikasi pengaturcaraan kecerdasan buatan bagi kawalan motor secara efisien untuk robot bergerak (mobile robot). Perkongsian ilmu teori kecerdasan buatan (software) dan aplikasinya dalam kawalan dilaksanakan oleh pensyarah kanan dari FTV, UPSI, manakala perkongsian ilmu tentang pembinaan perkakasan (hardware) robot bergerak dilaksanakan oleh pihak Bizbot Technology.

“Perkongsian ilmu dua hala ini meningkatkan kemahiran para peserta secara menyeluruh iaitu dari segi kedua-dua aspek perisian dan perkakasan dalam membangunkan sebuah robot bergerak berasaskan kawalan kecerdasan buatan,” kata Khairul Anuar Juhari, Pengarah Bizbot Technology.

Program selama tiga hari ini dijalankan di Kompleks Akademik, UPSI dan dihadiri oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Bizbot Technology dan pelajar-pelajar FTV, UPSI. Peserta program didedahkan dengan teori dan praktikal pembangunan robot bergerak menggunakan kecerdasan buatan di peringkat asas sehingga pertengahan. Program juga dilengkapi dengan aktiviti hands-on, di mana tiga projek robot bergerak dibangunkan oleh para peserta.

Projek pemindahan ilmu ini menyediakan generasi pemain industri dan bakal guru yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi selain mempunyai kecekapan dalam menggunakan teknologi untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Projek ini diketuai oleh Dr. Fardila Mohd Zaihidee serta melibatkan tiga orang pensyarah kanan dari FTV dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), UPSI serta seorang pelatih siswazah dari FTV.

Diharapkan agar program kerjasama antara institusi pendidikan dan industri seperti ini dapat terus dijalankan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)