Tanjong Malim, 24 Januari 2024 – Sebagai tanda hubungan ukhwah dan jalinan kerjasama antara pelajar dan warga fakulti dalam program sukan, Persatuan Sains Sukan dan Kejurulatihan (PSSK) dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Sukan Fakulti 2024 (SUKFA).

SUKFA pada kali ini telah berlangsung di Gelanggang Sukan, KSAS, UPSI pada 27 dan 28 Januari. Pelaksanaan SUKFA bukan sahaja mengeratkan tali persahabatan antara pelajar tetapi lebih kepada penglibatan pelajar dengan aktiviti keilmuan dan perlaksanaan kerja lapangan yang mempunyai elemen pembelajaran sepanjang hayat melalui perlaksanaan aktiviti sukan.

Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Fakulti (SUKFA) Sempena Perhimpunan Bulanan FSSK Januari telah dilangsungkan dengan meriah dan  disempurnakan oleh TNC HEPA UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin di Gelanggang Serbaguna Blok 6, FSSK dengan dihadiri oleh warga fakulti. Beberapa acara sukan telah dipertandingkan seperti Bola Tampar (L&P), Bola Jaring (P), Dodgeball (Campuran), Futsal (L) dan Tarik Tali (L&P). Batch yang terlibat adalah Diploma Nganga Jr Diploma, Nganga Sr Diploma, Raptor, Admiral. Bagi program degree, Nganga Jr Degree, Tigris, Alpha, Lycus, Armada, Venom dan  Bison.

Prof. Dr Norkhalid Salimin menyarankan agar program perhimpunan bulanan setiap Rabu dengan pelajar perlu dilaksanakan bagi  mengeratkan hubungan antara pensyarah dan pelajar. Beliau menambah “program berbentuk pertandingan juga perlu dilaksanakan dengan penglibatan semua pelajar. PSSK perlu memastikan setiap batch hendaklah melaksanakan program tersebut mengikut idea dan cara pelaksanaannya.”

Menurut Pengarah Program SUKFA, Muhammad Faiezulhadi Mohd Zaki, “Program SUKFA ini adalah untuk memupuk semangat kepimpinan, tanggungjawab dan kerjasama berpasukan dalam menguruskan sesuatu program”. Program ini juga membina  semangat kesukarelawanan dan jati diri serta toleransi antara satu sama lain dalam kalangan pelajar FSSK serta dengan kakitangan fakulti”.

Dr. Jaffry Zakaria, Dekan FSSK mengucapkan tahniah dan syabas di atas penganjuran SUKFA pada kali ini. Menurut beliau “Program SUKFA adalah untuk memberi semangat kerjasama antara pelajar dan keupayaan pelajar dalam menguruskan sesuatu program amatlah diperlukan oleh masyarakat apabila mereka tamat pengajian nanti”. “Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam program SUKFA pada tahun 2024 ini, semoga menjadi dorongan kepada semua pelajar untuk terus berjaya dan cemerlang terutama dalam bidang sukan.”

Upacara penutup SUKFA 2024 pada 28 Januari telah diadakan di Stadium UPSI bermula jam 5.00 petang dan disempurnakan oleh Timbalan Dekan (HEPA), FSSK, Dr Rozaireen Muszali.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)