Oleh: Syarfa Aliah Syaiful Azhar
UPSI, Tanjong Malim – Dalam usaha membangunkan generasi yang fasih digital, penyelarasan sistem pendidikan setanding dengan negara maju yang lain menjadi satu tindakan yang sedang diusahakan oleh kerajaan seiring dengan perkembangan teknologi yang kini mampu membantu melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, mahupun di peringkat pengajian tinggi.
Exco Media dan Publisiti Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dengan kerjasama Wan Animation, salah satu pempengaruh terkenal di media sosial telah menganjurkan Bengkel Wan Animation sebagai satu inisiatif untuk membantu bakal pendidik mengembangkan idea kreatif dalam penghasilan bahan bantu mengajar di samping untuk meningkatkan keyakinan peserta dalam menghasilkan karya digital di zaman serba canggih ini. Bengkel yang berjalan pada 31 Januari ini disertai seramai 110 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI.

Panel program, Ridzuan Ahmad yang merupakan Wan Animation berkongsi tentang pengalaman dan bagaimana cara beliau memanfaatkan media sosial seperti aplikasi Tik Tok dan YouTube semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui penghasilan video animasi walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perkomputeran atau teknologi maklumat. Tanpa disedari, video animasi beliau banyak mencuit hati penonton sehingga mampu merai jumlah tontonan yang tinggi sehingga kini.

Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Seah Siok Peh merangkap perasmi program dalam ucapannya berkata “bukan mudah nak buat bahan bantu mengajar dengan kreatif dan berkesan. Jadi inilah salah satu cara yang kita boleh belajar, lebih baik kita bina sendiri dari kita beli.”
Dalam ucapannya, beliau juga mengatakan bahawa kanak-kanak amat memerlukan elemen visual dan audio dalam sesi pembelajaran mereka. Ternyata, elemen ini sememangnya tidak dapat dipisahkan untuk membentuk perkembangan kanak-kanak yang holistik.
Pengarah program, Syahirah Md Husri mengucapkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.
“Saya sangat bersyukur kerana semua ahli jawatankuasa memberikan komitmen yang baik dari awal sehingga tamatnya program. Tidak lupa juga penasihat persatuan, Norrulkamari Daud yang banyak membimbing dan tidak putus-putus memberikan nasihat kepada saya sehingga program ini berlangsung dengan jayanya.”
Program ini diharapkan agar dapat memberi manfaat dan dapat mencetuskan idea kepada para pendidik untuk menghasilkan bahan bantu mengajar menggunakan cara dan strategi yang unik serta pelbagai untuk membangunkan Generasi yang juga celik IT. Maka, bersama-samalah kita dalam memajukan sistem pendidikan negara setaraf dengan negara maju yang lainserta dapat Melahirkan modal insan yang Cemerlang.