Oleh: Nur Ashikin Mohd Sis (PulaMI)
Tanjong Malim: Pusat Latihan Mengajar dan Industri UPSI (PulaMI) dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Selangor telah mengadakan Forum dan Taklimat Latihan Mengajar bagi pelajar Semester A232 bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 24 Januari yang lalu.
Program ini diadakan bertujuan untuk memastikan para pelajar yang bakal menjalani Latihan Mengajar (LM) lebih peka terhadap prosedur semasa LM seperti permohonan permit, syarat-syarat pemberian elaun dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh JPN serta memberi pendedahan secara langsung bersama pegawai dari pihak JPN sendiri.
Program yang dihadiri oleh seramai 1000 pelajar yang bakal menjalani LM Sesi A232 pada Mac ini telah dirasmikan oleh Pengarah Akademik & Antarabangsa UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus. Turut hadir, Prof. Madya Dr. Ashardi Abas, Timbalan Pengarah (Bahagian Pengurusan Latihan Mengajar), Prof. Madya Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid dan penyelaras-penyelaras Latihan Mengajar (LM) dari setiap fakulti.
Program ini dimulakan dengan ucapan Prof. Madya Dr. Ridzwan didahului ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kholishah Hassan dan Abd Razak Mohd Yusof, wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Khairil Anuar Othman dan Siti Zubaidah Md Saat wakil daripada JPN Selangor atas kesudian menerima jemputan sebagai panel forum program ini.
Beliau turut menekankan kepentingan komponen LM dalam struktur pengajian masing-masing serta mengingatkan pelajar yang bakal menjalani LM untuk sentiasa menyumbangkan yang terbaik untuk sekolah dan menjaga reputasi UPSI serta sepanjang menjalani LM di sekolah. Tambah beliau, pelajar UPSI berperanan sebagai duta kecil UPSI perlu menunjukkan sahsiah terpuji sebagai bakal guru yang akan mendidik anak-anak bangsa.
Program ini diteruskan lagi dengan sesi taklimat Latihan Mengajar oleh Prof. Madya Dr. Ashardi Abas, yang menerangkan berkenaan prosedur dan pelaksanaan Latihan Mengajar (LM) untuk memastikan pelajar yang bakal menjalani LM lebih peka terhadap prosedur semasa LM seperti permohonan permit, syarat-syarat pemberian elaun dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh JPN serta memberi pendedahan secara langsung bersama pegawai dari pihak JPN sendiri.
Seterusnya, sesi Forum dan Taklimat Latihan Mengajar Semester A232 bersama JPN Perak dan Selangor diteruskan oleh Pengarah PuLaMI. Forum ini amat penting dilaksanakan bagi menjamin dan memperkukuhkan proses dan prosedur permohonan LM serta memberi gambaran secara terus kepada guru pelatih dengan kehadiran JPN sendiri. Sesi forum ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat dan soalan berkaitan prosedur dan permasalahan berkaitan LM yang bakal dijalankan.
Melalui program sebegini diharapkan dapat memberikan gambaran lebih jelas prosedur dan pelaksanaan serta menjadikan para pelajar lebih bersedia menjalani LM yang merupakan komponen penting dalam struktur pengajian mereka. Semoga para pelajar dapat memanfaatkan info-info yang diperolehi untuk digunakan pada masa yang akan datang.