Oleh:  Humaira Atiqah (Ecxo HRMC)

TANJONG MALIM: Pada 27 Januari yang lalu, telah berlangsung sebuah program JOM BUAT PAPERWORK! yang dikelolakan oleh Human Resource Management Club (HRMC) bertempat di Bilik Seminar, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program yang dihadiri seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada setiap wakil kelab FPE merangkumi Ahli Kelab GPS, UPSINOMICS, UPSIAS, UCFC, PPEFPE termasuklah HRMC. Antara panel yang terlibat dalam menjayakan program ini termasuklah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPE, Dr. Khalizul Khalid, Pembantu Tadbir Unit HEPA FPE, Hafizzudin Kamarudin dan mantan Bendahari MPP Nur Atiqa Balqis Abdul Samad. Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan serta tunjuk ajar yang lebih jelas dan terperinci kepada setiap ahli kelab sebagai panduan dalam  penghasilan kertas kerja yang lebih teratur, efektif dan sistematik sejajar dengan garis panduan yang telah ditetapkan.

Menurut Khalizul Khalid, antara intipati yang difokuskan meliputi dua perkara iaitu  keupayaan seseorang mahasiswa dalam merancang dan menghasilkan kertas kerja yang baik, dan  memikirkan serta mencadangkan penganjuran program yang boleh memberikan impak yang tinggi sekaligus melonjakkan nama baik FPE dan UPSI.

“Kita ingin melahirkan pelajar yang lebih lengkap dan mempunyai kebolehan yang menyeluruh dari segenap segi akademik dan bukan akademik serta mempunyai sahsiah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan,” ujar beliau.

Memetik maklum balas daripada salah seorang peserta program iaitu Irfan dari kelab UPSINOMICS yang berpendapat agar program sebegini diperbanyakkan lagi kerana ianya membuka peluang ahli persatuan mengetahui kepentingan, format dan matlamat sesuatu kertas kerja ini dibuat kerana ianya dapat memberi laluan yang lebih  jelas serta maklum balas yang positif terhadap program yang telah dijalankan.

Dengan sambutan yang menggalakkan dalam kalangan peserta, semoga perkongsian daripada para panel program seminar ini diharapkan dapat mencapai objektif program yang telah ditetapkan serta meningkatkan potensi dalam menghasilkan lebih ramai mahasiswa PROGRAM JOM BUAT PAPERWORK! ANJURAN KELAB HRMC yang berketerampilan dan keperibadian unggul untuk kesejahteraan generasi akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)