24 Januari, Tanjong malim – Pada tanggal 24 Januari 2024 (Rabu), Persatuan Sains Komputer (PSK), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) buat julung kalinya telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama setelah memperolehi kelulusan penubuhan persatuan pada Januari 2024 daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPSI.
Seramai 60 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada Diploma Sains Komputer (Pengkomputeran Internet), FKMT telah menghadiri mesyuarat ini yang dirasmikan oleh YBrs. Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FKMT. Turut hadir selaku tetamu kehormat ialah YBrs. Dr. Sumayyah binti Dzulkifly selaku penasihat persatuan. Objektif utama mesyuarat agung ini adalah bagi memilih barisan Ahli Jawatankuasa yang bakal menerajui tampuk kepimpinan Persatuan Sains Komputer untuk sesi 2024/2025.
YBrs. Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid dan Dr. Sumayyah binti Dzulkifly turut hadir memeriahkan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Sans Komputer 1.0
Mesyuarat ini dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Dr. Sumayyah dan kemudiannya ucapan perasmian oleh Ts. Dr. Nazre. Setelah itu, mesyuarat diteruskan dengan perkongsian oleh wakil Jawatankuasa Interim iaitu Sdr. Muhammad Harith Danial Bin Mohd Faisal, mahasiswa Diploma Sains Komputer Semester 5 yang meringkaskan kronologi proses penubuhan persatuan sejak awal sehingga persatuan berjaya ditubuhkan. Sdr. Harith juga turut menyelitkan ucapan sebagai wakil kepada mahasiswa/i semester 5 yang bersama-sama memulakan usaha penubuhan Persatuan Sains Komputer ini.
Kemudiannya, majlis diteruskan dengan taklimat ringkas oleh Sdr. Nur Ammar Danial Mohd Harun tentang proses pencalonan dan pengundian. Setelah selesai sesi pencalonan dan pengundian, ahli-ahli persatuan dengan sebulat suara telah memilih Sdr. Nik Mohammad Haiqal bin Nik Ab Razak sebagai Yang Dipertua PSK dan Sdr. Siyam Md Raysul Islam sebagai Timbalan Yang Dipertua PSK bagi sidang 2024/2025.
Persatuan Sains Komputer FKMT ini diharapkan mampu menjadi wadah bagi mahasiswa/i Diploma Sains Komputer beraktiviti dan bersosial. Dengan itu ia mampu melahirkan individu yang cakna terhadap bidang teknologi maklumat sekali gus merapatkan hubungan antara ahli persatuan tidak kira bangsa , agama dan budaya.