Oleh: Datin Norhayati Hood

Tanjong Malim, 7 Februari 2024 – Program PEWARIS Ziarah Prihatin kali ini berpeluang menyantuni Pegawai Tadbir Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Shahaniza Shamsuddin bagi memberi semangat dan motivasi kepada beliau berikutan anaknya yang kini menjalani rawatan di Hospital Besar Ipoh, Perak.

Menurut Yang Dipertua PEWARIS UPSI, Prof. Madya Dr. Harozila Ramli, pendekatan ziarah menjadi fokus utama program PEWARIS Ziarah Prihatin agar kehadiran dan sokongan rakan-rakan yang sentiasa mengambil berat kebajikan ahli dapat dirasai dan dikongsi bersama.

“Konsep sokongan berterusan adalah petua terbaik bagi mengeratkan keutuhan dalam kalangan ahli,” katanya.

Sementara itu, Shahaniza menjelaskan masalah kesihatan anaknya masih di peringkat rawatan dan menunggu keputusan diagnosis daripada pakar perubatan. Minggu lalu, anak sulung Shahaniza dimasukkan ke Hospital Slim River untuk pemeriksaan lanjut selepas mengalami bacaan platlet rendah dalam darah.

“Ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak PEWARIS atas ziarah prihatin ini. Tidak ada perasaan yang dapat digambarkan dalam hidup saya apabila berdepan dengan situasi ini dan saya berdoa agar anak saya kembali sihat dan ceria,” kata Shahaniza.

PEWARIS turut menyampaikan sumbangan dalam meringankan beban dan sebagai tanda keprihatinan kepada ahli.