Oleh: Kamal Md Isa
UPSI, Tanjong Malim – Ilmu asas elektronik menjadi komponen penting dalam penguasaan subjek Reka Bentuk dan Teknologi di peringkat sekolah rendah. Sehubungan dengan itu, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kolaborasi Sekolah Rendah Islam Integrasi Bangiku (SRIIB) telah menjayakan program perkongsian ilmu bersama komuniti pada 31 Januari lalu bertempat di Kompleks Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
Seramai 32 orang mahasiswa UPSI yang terdiri daripada ahli Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK) terlibat dalam menjayakan program tersebut sebagai fasilitator yang memberikan pendedahan ilmu berkaitan komponen dan pemasangan kit elektronik sesuai seperti yang terkandung dalam silibus pembelajaran bagi mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi.
Sebagai mahasiswa UPSI yang berkualiti dan inovatif, barisan fasilitator ini menjiwai peribadi pendidik yang profesional dalam menyampaikan ilmu yang berkesan menerusi bahan bantu mengajar (BBM) yang kreatif kepada 120 orang peserta yang terdiri daripada murid darjah 4 hingga darjah 6 seperti pemasangan komponen elektronik pada papan bredboard dengan bantuan modul Thinkercad. Pemasangan modul Kereta Kawalan yang diprogramkan menggunakan set Arduino IDE berdasarkan ilmu elektronik yang turut dikongsikan sepanjang program menarik minat murid apatah lagi ketika mereka diberi peluang untuk mengawal kereta kawalan tersebut.
Dr. Irdayanti Md Nashir, Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi Kejuruteraan, FTV selaku pensyarah pembimbing bagi program ini turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan para pelajarnya dalam menjayakan program bersama komuniti ini. Beliau turut menyediakan 20 set kit Arduino Asas bersama Modul Thinkercad sebagai sumbangan kepada komuniti yang terlibat dalam program ini.
Selaras dengan penganjuran pertandingan robotik di sekolah tersebut, program perkongsian ilmu asas elektronik ini membantu murid meneroka minat dan bakat pada usia yang muda sekaligus menjana modal insan dengan jiwa pendidik yang bukan sahaja berkualiti, malah mempunyai peribadi unggul, kritis dan kreatif.