Oleh: Noratiqah Satari & Pollie Lim Poh Yue

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyediakan perkhidmatan sokongan kepada individu dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) mempunyai pelbagai kepakaran bidang berkaitan dengan OKU salah satunya adalah adalah sistem tulisan Braille.

Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Januari setiap tahun. Braille merupakan sistem tulisan untuk golongan OKU penglihatan mengakses maklumat dan menikmati karya penulisan. Walau bagaimanapun, bahan bacaan dalam tulisan braille kurang penerbitannya terutama Bahasa Melayu dan kekurangan pakar bidang dilihat semakin kritikal. Di UPSI sendiri, hanya Dr Kway Eng Hock sahaja hanya yang mempunyai kepakaran dan beliau bakal bersara pada tahun 2025. 

Naib Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta, Malaysia (NCBM), Wong Yoon Loong dalam ucapannya menyatakan, “Usaha untuk menghasilkan sebuah buku braille nampak kecil namun besar maknanya kepada individu yang mempunyai masalah penglihatan. Galakan untuk menghasilkan lebih banyak buku Braille sama ada buku teks ataupun buku cerita mestilah diteruskan dan tidak bersifat sementara supaya MBPK juga diberi peluang untuk memilih buku pilihan mereka sendiri,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli telah dijemput merasmikan bilik Unit Perkhidmatan Terapi dan Sambutan Hari Braille sedunia anjuran Jabatan Pendidikan Khas, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) dan Persatuan Sahabat Komuniti. Beliau memberikan sedikit amanat kepada generasi muda iaitu mahasiswa khususnya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan Khas) untuk sentiasa membantu dalam pemerkasaan keupayaan yang ada pada individu dari golongan OKU. Beliau juga memaklumkan bahawa UPSI sentiasa bersedia setiap tahun sebagai medan dalam meraikan sambutan Hari Braille Sedunia peringkat kebangsaan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang hadir hari ini, iaitu Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, SMK Jelapang Jaya, SK Seri Mutiara, Universiti Sains Islam Malaysia, ST Nicholas Home Penang, dan lain-lain lagi, untuk gunakan UPSI khususnya Jabatan Pendidikan Khas bersama-sama dengan komuniti,” katanya dalam ucapan perasmian.

Sambutan Hari Braille Sedunia ini juga terdapatnya pameran buku dan al-Quran Braille, permainan untuk OKU penglihatan, serta adanya pertandingan membaca Braille kepada komuniti luar untuk golongan celik bagi merasai pengalaman membaca dengan menggunakan sistem bacaan Braille. Pemenang bagi pertandingan ini disampaikan oleh Wong Yoon Long dari NCBM.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)