28 Jan 2024, Tanjong Malim – Mahasiswa Diploma Reka bentuk dan Pembangunan Permainan, Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (FKMT) telah menyertai Program GLOBAL GAME JAM 2024 pada 26 – 28 Januari 2024 (Jumaat hingga Ahad). Program ini dianjurkan oleh GamesHQ dan IGDA Malaysia dan berlangsung secara serentak di Xsolla di Bangsar South, UOW Malaysia di Glenmarie, dan UPSI di Tanjung Malim.
Program GLOBAL GAME JAM 2024 adalah salah satu acara tahunan yang paling dinanti-nantikan oleh para pembangun permainan. Ia adalah maraton penciptaan permainan terbesar di dunia dengan melibatkan lebih puluhan ribu peserta (juga dikenali sebagai jammers) dari lebih seratus negara di seluruh dunia.
Program ini seperti hackathon, berlaku selama 48 jam di mana pembangun permainan di seluruh dunia berkumpul untuk mencipta permainan yang diilhamkan merujuk kepada tema utama yang ditetapkan. Dalam program ini, jammers digalakkan untuk meneroka alatan teknologi baharu, mencuba peranan baharu serta merasai sendiri suasana sebenar dalam persekitaran pembangunan permainan.
Melalui penyertaan pada Program GLOBAL GAME JAM 2024 ini, bakat yang terpendam dalam kalangan mahasiswa/i serta pensyarah FKMT dalam pembangunan permainan khasnya dapat dicungkil dan diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, program ini juga menyasarkan untuk menjadi wadah bagi menguji, menilai kemampuan dan menguatkan lagi jati diri dalam kalangan mahasiswa/i yang terlibat.
Ts. Dr. Jason Wong Yoke Seng sedang memberi taklimat kepada para peserta GLOBAL GAME JAM 2024 di UPSI
“Program GLOBAL GAME JAM 2024 ini dapat memberi peluang kepada pelajar Diploma Reka bentuk dan Pembangunan Permainan META. Keberlangsungan program ini juga bertujuan untuk memberi menggalakkan generasi muda untuk berdaya saing dalam menerajui perubahan teknologi global dengan merangka sesuatu yang baharu sekaligus mewujudkan jalinan kerjasama rakan strategik antara universiti seluruh Malaysia.”, jelas Sdr. Muhammad Zahid bin Zaidi, mahasiswa Diploma Reka bentuk dan Pembangunan Permainan Semester 5 yang juga wakil Persatuan Permainan Digital, FKMT, UPSI.
Dekan FKMT, YBrs. Profesor Madya Dr-Ing. Maizatul Hayati binti Mohamad Yatim berkata, “Program ini sebenarnya banyak memberikan input yang berguna kepada mahasiswa/i sekalian terutamanya dalam mencetuskan idea dan pengalaman yang baru. Melalui program ini, peluang untuk mempelajari ilmu secara tidak langsung akan membentuk satu transformasi gerak kerja yang berjaya berdasarkan kebijaksanaan dan kesungguhan dalam menjayakan program ini”.
Manakala Ts. Dr. Jason Wong Yoke Seng yang juga merupakan pensyarah penasihat untuk program ini menyatakan para mahasiswa perlu terus didedahkan dengan program-program seperti ini kerana ia menyediakan platform yang baik untuk mereka mendapatkan pengalaman sebenar sebagai pembangun permainan. Beliau mencadangkan supaya UPSI terus terlibat dengan program seperti ini untuk masa-masa yang akan datang.
Salah seorang peserta program ini, Sdr. Muhammad Hakimi bin B’zam Zam daripada Diploma Reka bentuk dan Pembangunan Permainan Semester 5 menyatakan “Saya berasa amat teruja kerana berpeluang untuk menyertai program ini. Pada pandangan saya, program ini perlu diteruskan kerana banyak input yang saya perolehi sepanjang 48 jam saya terlibat sebagai peserta”.
Sesungguhnya program seperti Global Game Jam ini perlu terus dilaksanakan agar mahasiswa Fakulti FKMT beroleh pengalaman yang menjadikan mereka lebih terbuka dan bersedia untuk menghadapi cabaran apabila terjun ke alam pekerjaan nanti. Selain itu, ia juga memberi ruang kepada mahasiswa/i untuk mempelajari perkara dan ilmu baharu yang secara langsung berupaya membentuk jati diri yang unggul di kalangan mereka.