NCDRC UPSI, Tanjong Malim – Penerokaan dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak menjalinkan hubungan kerjasama yang erat antara Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Bayyinah. Buat kali yang ketiga, kedua buah institusi ini menganjurkan International Ecce Edu-Tourism Programme yang berfokus kepada penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang dipraktikkan di Malaysia dan Indonesia.

Kunjungan delegasi daripada Indonesia yang dihadiri oleh 11 orang pendidik dan pengusaha di sekitar Indonesia ini berkongsi amalan amalan terbaik dan kepakaran di tempat masing-masing di samping mengambil peluang untuk meneroka lebih banyak ilmu dan pengalaman berkaitan penyediaan sumber pengajaran kanak-kanak di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam.

Selain itu, peserta juga diberi pendedahan mengenai kesedaran dan kepentingan Bantuan Pertolongan Cemas dan CPR di pusat jagaan kanak-kanak yang telah disampaikan oleh Kapt (PA) Shahrizal Hussin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dibawa berkunjung ke Muzium Coklat di Kota Damansara sebagai salah satu pendekatan aktiviti yang boleh dipraktikkan untuk pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak.

Menariknya, Program ini turut melibatkan barisan penceramah berpengalaman dari Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI iaitu Dr. Hasrul Hosshan, Dr. Nurbieta Abdul Aziz dan penglibatan guru NCDRC iaitu Zatil Hidayah Hj. Hamizi dan Jagath Janani A/P Gnansekharan.

Menurut Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi), NCDRC, program sebegini amat bermanfaat kepada pendidik dan pengusaha pusat jagaan terutamanya dalam memberi kefahaman dan meningkatkan kemahiran yang mampu merangsang perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak.

“Jika dilihat, mungkin di Malaysia dan Indonesia pendekatan pengasuhan dan pendidikan ada perbezaannya, tetapi itulah yang perlu dikongsikan bagi melihat apa yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak untuk memastikan hanya yang terbaik boleh diberikan kepada kanak-kanak untuk kesejahteraan mereka,” tambah beliau.

Ketua Yayasan Bayyinah, Ibu Yusra Mayawati berkata, kolaborasi antara Yayasan Bayyinah dan NCDRC, UPSI sangat kuat dan program sebegini sangat berguna kepada semua peserta yang hadir. Tambah beliau, peserta dapat menimba seberapa banyak ilmu untuk dibawa pulang ke pusat jagaan masing-masing untuk dipraktikkan antaranya, pembelajaran melalui pendekatan projek, pengurusan kelas kanak-kanak, aktiviti perkembangan kanak-kanak, saringan kanak-kanak, ketersediaan kanak-kanak ke sekolah, pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas.

Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk memastikan peserta yang hadir lebih memahami konsep asuhan dan didikan kanak-kanak yang lebih holistik. Selain itu, UPSI khususnya Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dapat mengekalkan jaringan kolaborasi bersama Yayasan Bayyinah menuju ke arah perkembangan pengetahuan dalam bidang penjagaan dan pendidikan kanak-kanak.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)