Oleh: Muhammad Nor Afzan

Kota Kinabalu, Sabah – Merealisasikan konsep teroka ilmu tanpa sempadan, Jelajah Ulul Albab 5.0: Superior Millennials dilihat sebagai satu proses pembelajaran dan perkongsian yang berupaya mencetus semangat dan idea kepada mahasiswa bagi memperkasa keupayaan diri.

Delegasi Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) seramai 16 orang bersama dua orang pegawai PUA telah mengadakan program Jelajah ulul Albab ke Sekolah Agama Kimanis, Papar pada 18 hingga 22 Januari yang lalu bagi berkongsi  modul-modul menarik merangkumi 3 elemen Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijihadik kepada 70 orang pelajar yang terdiri dari pelajar tingkatan 1 hingga 4. Program selama tiga hari ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah untuk menerima perkongsian dari mahasiswa universiti supaya mereka dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr Sakinah Salleh berkata jelajah Ulul Albab 5.0 menekankan perkongsian modul motivasi diri, Kepimpinan dan juga Talibun Al- Abqari yang mana ianya berfokus kepada pembentukkan jati diri pelajar sekolah tersebut. Selain itu kumpulan pimpinan pelajar juga berpeluang mengikuti kursus protokol dan Komunikasi Berkesan yang dikendalikan oleh Nor Hayati Aziz bersama fasilitator KeSUA.

Pelajar juga didedahkan dengan modul penyelesaian masalah ketika dalam keadaan yang kritis untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Modul Life Survivals yang berbentuk aktiviti ‘explorace’ mendorong pelajar untuk berfikir secara terbuka, kreatif dan kritis dalam menghadapi realiti kehidupan yang sebenar. Terdapat juga modul yang membantu pelajar dalam membuat keputusan untuk memilih laluan kerjaya yang betul. Pelajar-pelajar begitu teruja dengan ilmu yang diperolehi dan menunjukkan semangat kerjasama dan keaktifan mereka dengan baik kepada setiap aktiviti yang dijalankan oleh barisan fasilitator.

Pengetua SMKA Kimanis, Zainab Ahmad melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kehadiran KeSUA untuk sama-sama membantu meningkatkan keyakinan diri serta kecemerlangan pelajar SMKA Kimanis. Menurutnya lagi, program sebegini memberi impak yang positif kepada pelajar kerana sudah pastinya pelajar memerlukan sentuhan semangat daripada mereka yang sudah berada di peringkat pengajian tinggi. Penasihat Program, Nor Hayati Aziz berkata selain memberikan ilmu kepada pelajar sekolah, Universiti Pendidikan Sultan juga dapat melahirkan lebih ramai lagi mahasiswa yang holistik, mempunyai keyakinan dalam pengucapan awam dan seterusnya melahirkan mahasiswa yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat dan negara. Program ini diakhiri dengan penyampaian sumbangan daripada Dr Sakinah Salleh kepada 20 orang pelajar asnaf SMKA Kimanis.