UPSI, Tanjong Malim – Program Physics Fun Learning 1.0 anjuran Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 3 Februari lalu menggalakkan penguasaan konsep fizik selari dengan kandungan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Fizik Tingkatan 4 dalam kalangan peserta yang terdiri daripada 18 orang pelajar sekolah menengah di sekitar Muallim dan Selangor.
Program bertemakan kinematik yang terdiri dari konsep-konsep fizik seperti gerakan linear, gerakan jatuh bebas, momentum, impuls dan daya impuls ini dibimbing oleh lima orang fasilitator yang merupakan pelajar semester 5 daripada Fakulti Sains dan Matematik. Timbalan Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan yang juga merupakan pensyarah daripada Jabatan Fizik, Dr Anis Nazihah Md Daud, memberikan pendedahan tentang aplikasi Tracker yang berupaya memaparkan graf gerakan objek tanpa memerlukan peserta untuk mengambil data sekaligus membantu murid-murid untuk menganalisis gerakan objek disamping memahami konsep-konsep fizik yang abstrak.
Aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada peserta untuk menghubungkait ilmu yang dipelajari dalam kehidupan sebenar bukan sahaja melalui aplikasi Tracker, malah juga menggunakan Photogate untuk mencari nilai pecutan graviti dari objek yang sedang jatuh. Sesi pembelajaran dengan peralatan yang lengkap memudahkan pelajar untuk memahami teori dan simulasi yang diajar oleh para fasilitator.
Semua peserta yang terlibat memberikan respon yang positif terhadap sesi pembelajaran yang membantu peserta mendalami ilmu kinematik dalam subjek Fizik. Pengarah program, Dr. Anis Diyana Halim sangat teruja dengan semangat dan sifat ingin tahu pelajar sepanjang sesi pembelajaran berlangsung.
“Saya bangga melihat pelajar yang dipenuhi dengan rasa ingin tahu sehingga membuatkan mereka sangat fokus setiap kali diberikan penerangan. Mereka kelihatan sangat teruja semasa mempelajari aplikasi Tracker, merakam video gerakan objek dan ketika menganalisis gerakan jatuh bebas bagi mencari nilai pecutan graviti. Saya berharap agar program ini membantu meningkatkan minat pelajar dalam subjek Fizik.”
Pensyarah daripada FSM itu juga menyatakan bahawa dengan adanya sokongan peralatan yang lengkap, pelajar dapat lebih memahami bagaimana suatu teori dapat dikaitkan dengan kehidupan sebenar. Kekurangan peralatan di sekolah menyebabkan pelajar hanya dapat mempelajari keseluruhan teori tanpa dapat melihat simulasi yang dapat memberikan pelajar gambaran penuh tentang apa yang sedang dipelajari.
Dengan adanya program seperti ini, FSM berupaya menjadi medium meluaskan ilmu pendidikan kepada pelajar sekolah menengah yang mana secara langsung dapat menarik minat pelajar untuk meneruskan pelajaran ke peringkat universiti khususnya di UPSI. Dalam masa yang sama, program ini juga meluaskan jaringan kerjasama antara UPSI dengan pihak sekolah di sekitar Muallim dan Selangor.