Oleh: Aida Najwa Zahidan

UPSI, Tanjong Malim – Seiring pergerakan pantas era digitalisasi yang kian mencabar, mahasiswa menjadi golongan penting yang harus menguasai ilmu digital dalam pembentukan generasi mahir IT yang mampu bersaing dengan cabaran digital pada masa hadapan.

Melihat kepada kepentingan teknologi kehidupan seharian, Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS), Universiti Pendidikan Sultan (UPSI) dengan kerjasama Kelab Teknikal Persembahan (U-Tech) UPSI telah menganjurkan Bengkel OBS Studio sebagai satu inisiatif untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kemahiran asas penggunaan OBS Studio dalam mengendalikan siaran langsung di platform seperti Facebook dan YouTube.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI hadir dalam sesi perkongsian oleh Muhammad Azwan Shahidan, Exco Crew Kelab Teknikal (U-Tech) yang berkongsi tentang perisian OBS dan bagaimana ia berfungsi semasa siaran langsung dijalankan. Perkongsian yang menambah kemahiran luar bilik kuliah ini memudahkan gerak kerja program sepanjang berada di kampus. Selain itu, kemudahan yang ada ini telah menyediakan ruang dan peluang kepada semua mahasiswa untuk dimanfaatkan.

Penasihat Kelab Pembimbing Rakan Siswa, Noor Syaibah Syabuddin dalam ucapan perasmiannya menyatakan rasa bangga dan teruja dengan kecaknaan ahli kelab PRS akan kepentingan ilmu IT dalam kalangan mahasiswa UPSI.

“Saya percaya mahasiswa yang hadir pada hari ini tidak akan pulang dengan tangan kosong, tapi dengan ilmu baharu yang seterusnya boleh membantu mahasiswa untuk mencetuskan lebih banyak idea hebat untuk menganjurkan program-program berasaskan digital dan teknologi yang berimpak tinggi. Pengetahuan teknologi bersifat jangka panjang. Kalian yang hadir pada hari ini boleh mengaplikasikan apa yang dipelajari sewaktu berada di alam pekerjaan kelak” ujar beliau.

Diharapkan agar melalui penganjuran program seperti ini, mahasiswa lebih sedar akan kepentingan ilmu dan kemahiran IT dalam meningkatkan nilai tambah dan kemahiran insaniah menuju pembentukan mahasiswa yang celik digital.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)