Oleh: Aida Najwa Zahidan
UPSI, Tanjong Malim – Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berpotensi tinggi, Pusat Kaunseling UPSI dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Perak, telah menjayakan program Youth On the Move (Uni to Uni) yang menawarkan latihan kemahiran asas dalam pertolongan cemas untuk melatih mahasiswa praktikaliti dalam bantuan awal kecemasan pada 28 Januari 2024.
Program yang disertai oleh 100 orang mahasiswa mendedahkan ilmu pertolongan cemas atau first aid yang merupakan satu tindakan awal bagi mengurangkan kadar risiko kesakitan atau kematian jika berlaku sebarang bentuk kecemasan sementara menunggu ketibaan pihak perubatan. Peserta yang hadir berpeluang menjalani latihan simulasi dan praktikaliti bantuan awal kecemasan.
Menurut Pegawai Tadbir Pusat Kaunseling merangkap perasmi program, Ahmad Shazwi Ahmad Shukri, program sebegini melatih kemahiran asas mahasiswa seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan kemahiran lain yang diperlukan dalam pengurusan bantuan awal kecemasan.
“Tidak semua pihak mampu dan mempunyai kebolehan untuk bertindak secara rasional terutama ketika berhadapan dengan situasi kecemasan. Oleh yang demikian, dengan penganjuran program seperti ini bukan sahaja memberikan input baru kepada mahasiswa yang terlibat, memperbaiki tahap kesiapsiagaan mahasiswa ketika berhadapan dengan situasi kecemasan,” tambah beliau lagi
Penganjuran program seperti ini juga bukan sahaja dapat menambah input dan pengetahuan asas mengenai kemahiran asas bantuan awal kecemasan, malah dapat menjalinkan hubungan baik dengan persatuan Bulan Sabit Merah Perak. Bukan itu sahaja, mahasiswa juga dapat mengenalpasti persatuan yang menawarkan perkhidmatan berbentuk kesukarelawanan kemanusiaan.