Oleh: Aida Najwa Zahidan

UPSI, Tanjong Malim – Pusat Kaunseling UPSI menerima kunjungan daripada Bahagian Psikologi dan Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 6 Februari lalu dalam program Lawatan Penanda Aras yang bertujuan untuk berkongsi kepakaran dan kemahiran dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang diamalkan di universiti masing-masing.

Lawatan yang berlangsung selama sehari ini dihadiri oleh Dr. Pau Kee selaku Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr Masni Md Hasim yang merupakan Ketua Bahagian Psikologi dan Kaunseling USIM, wakil daripada kedua-dua universiti dan Psychological First Aid Team UPSI. Antara perkongsian ilmu dua institusi pengajian ini termasuk servis dan perkhidmatan yang ditawarkan, teknik-teknik terbaru yang mempunyai daya bantu tinggi dalam menangani kepelbagaian kes di universiti dan potensi kolaborasi antara dua universiti melalui program-program berimpak tinggi dan berkualiti. Dalam masa yang sama, lawatan ini membuka peluang kepada pihak USIM untuk mengenal Psychological First Aid Team UPSI.

Sesi perkongsian dikendalikan oleh Dr. Pau Kee berfokus kepada pengurusan Pusat Kaunseling dan sistem My Counselor yang memberi kemudahan kepada mahasiswa UPSI untuk mengetahui serta mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan di Pusat Kaunseling. Pertukaran idea dan teknik berlangsung dengan lancar apabila Ketua Bahagian Psikologi dan Kaunseling USIM juga turut berkongsi tentang cara pengendalian kaunseling di universiti mereka. Kemuncak kepada lawatan ini adalah lawatan ke beberapa tempat di bawah seliaan Pusat Kaunseling seperti Pejabat Am Kaunseling, Bilik Pengawai Psikologi, dan Bilik Terapi Pusat Kaunseling.

Menerusi program seperti ini juga, satu kesepakatan berjaya dipersetujui dalam usaha untuk menjalinkan kerjasama dalam penganjuran program yang bakal dilaksanakan melibatkan PEERS USIM dan Persatuan Psychological First Aid Team UPSI. Diharapkan agar penganjuran program seperti ini mampu mencipta peluang baru ke arah perubahan dan penambahbaikan dalam servis atau perkhidmatan yang biasa di lakukan di universiti.