Oleh: Amira Sofea Mohd Faiz & Muhammad Mukhlis Wafi Mohd Lazim,
UPSI, Tanjong Malim– Penganjuran program bersifat ekonomi dan keusahawanan di peringkat universiti disifatkan sebagai satu penggalak kemajuan ekonomi dalam kalangan pelajar yang sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.
Justeru, Exco Ekonomi dan Keusahawanan Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil peluang untuk menganjurkan Hari Keusahawanan PAKK pada 3 Februari lalu bagi membuka peluang kepada mahasiswa dan peniaga-peniaga kecil di sekitar daerah Muallim untuk datang berniaga di UPSI.
Program ini menampilkan Penyelaras Keusahawanan, Dr. Nadratun Nafisah Abdul Wahab yang juga merupakan wakil Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan bagi menyampaikan perkongsian ilmu seterusnya memberikan pendedahan kepada mahasiswa akan pentingnya ekonomi dan keusahawanan. Menurut beliau, graduan yang mempunyai minda keusahawanan cenderung mencari penyelesaian kreatif untuk cabaran yang dihadapi dalam pasaran, menjadikan mereka pemacu penting inovasi dalam pembangunan industri dan teknologi di samping memberi mereka fleksibiliti dalam kerjaya mereka dan membolehkan mereka mengejar minat dan impian perniagaan mereka sendiri.


Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Professor Dr. Abdul Halim Masnan dalam ucapan perasmiannya mengatakan bahawa kesedaran untuk memulakan perniagaan letaknya pada hati dan niat yang betul untuk mengembangkan potensi diri masing-masing dalam bidang keusahawanan begitu juga dengan menambah ilmu tentang kewangan agar perkara ini dapat menyelamatkan kita pada masa akan datang.
“Besarlah harapan saya agar kesemua warga UPSI baik dari mahasiswa sendiri mempunyai semangat untuk memulakan perniagaan tak kira sekecil manapun modal yang dikeluarkan, tetaplah berani mengambil risiko demi mendapatkan hasil yang luar biasa kerana hasil tidak akan mengkhianati usaha,” ujar beliau lagi.
Sambutan dan sokongan yang meriah daripada mahasiswa UPSI mengukir senyuman di wajah pengarah program, Hanis Syahiera Rosmaja. Menurut mahasiswa daripada Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak ini, beliau tidak menyangka program ini akan mendapat sambutan daripada warga UPSI. Beliau terharu melihat semangat mahasiswa dalam menyediakan barangan dan makanan untuk dijual.


“Saya tidak menyangka ramai pelajar UPSI yang sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Hari ini, seramai 60 orang telah menyokong program ini secara langsung. Sesungguhnya program ini tidak akan terlaksana dengan jayanya tanpa nasihat daripada Norrulkamari Daud, penasihat persatuan yang tidak jemu memberikan idea, pendapat dan menyuntik semangat kepada saya dan semua yang terlibat. Tidak dilupakan juga barisan ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus dari awal proses merancang program sehingga berakhir dengan jayanya.”
Secara keseluruhannya, program ini telah memberi peluang yang berharga kepada mahasiswa untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keusahawanan. Diharapkan agar peserta yang hadir dapat memanfaatkan sepenuhnya platform yang disediakan, sama ada melalui pembelajaran dalam talian, sesi penerangan mahupun bimbingan peribadi.