Prof Datuk Dr Md Amin menyampaikan syarahan sempena majlis Aspirasi Naib Canselor di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Tanjung Malim: Konsep BITARA menjadi landasan untuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memacu kejayaan lebih cemerlang pada masa depan bukan sahaja peringkat nasional malah antarabangsa.
Naib Canselor , Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff ketika berucap sempena majlis Aspirasi Naib Canselor 2024 di Dewan Tuanku, Kampus Sultan Azlan Shah Rabu lalu, berkata UPSI mengecapi pelbagai kejayaan hasil perasaan kasih sayang seluruh warganya terhadap universiti pendidikan ulung negara itu.
Katanya, konsep berasaskan hasrat kebitaaraan yang bermakna bijak tanpa tara atau unggul iaitu BITARA iaitu Bakat Unggul (B), Inovasi dan Penyelidikan (I), Transformasi Teknologi (T), Adab, Akhlak , Akademik (A), Revolusi Ekosistem (R) dan Adaptasi Global (A) untuk menjulang nama dan maruah universiti tercinta.
Konsep itu, katanya, selaras dengan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setiap mahasiswa dan akademia harus mampu “ Menggapai ke Langit, Mengakar di Bumi” sebagai amanah yang perlu dipikul UPSI.
“UPSI perlu bukan sahaja melahirkan pendidik malahan mengubah generasi seperti sumbangan legasi Pendeta Za’ba, Ibrahim Yaakub serta cendekiawan dan budayawan, Awang Had Salleh,” katanya.
Peranan universiti, katanya, bukan sahaja UPSI perlu melahirkan murabbi yang cemerlang akademik, beradab, berbudaya dengan identiti keguruan yang bakal mengubah generasi hari ini yang dicabar oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).
Justeru, Aspirasi UPSI tahun ini dibentuk bagi merealisasikan amanat Menteri Pendidikan Tinggi dengan memberi penekanan kepada aspek mengungguli bakat, memperkukuhkan ekosistem pendidikan, mempelbagaikan perkongsian baharu dalam perkongsian ilmu, mengantarabangsakan pendidikan tinggi serta mempelbagaikan ekosistem.
Beliau turut mengimbas pelbagai kejayaan UPSI antaranya penjanaan pendapatan akademik dan bukan akademik sebanyak RM119 juta, enrolmen 29, 213 pelajar pelbagai peringkat pengajian, dan membuka tujuh pusat antarabangsa bahasa Melayu sehingga berjaya mengubah stigma masyarakat terhadap universiti.
“UPSI akan menjemput dua tokoh tersohor pendidikan antarabangsa iaitu Prof Dr Howard Gardner dari Harvard University dan Prof John W. Creswell selain akademia mengikuti latihan antarabangsa dan kursus berprestasi tinggi di beberapa universiti terkemuka,” katanya.
Beliau berkata bagi meluaskan prasarana, UPSI kini giat membangunkan Pusat Latihan di Meru Raya , Ipoh; Industri dalam Universiti, Pusat Data Raya, Sekolah Rendah Seri Budiman, Institut Tahfiz dan Turath Islami, Pusat Sokongan Akademik Pelajar Atlet, Galeri Muzik Di Raja, Projek Solar, Pusat Komuniti dan Residen, Institut Bahasa Antarabangsa, Pusat Kesihatan, Pusat Kokurikulum, Pusat Boling, Driving Range (Golf), Glamping Park, Taman Rusa, dan Cabin@Ujana bagi memperkasakan UPSI Edutourism.
“Saya menyaksikan warga akademia, pentadbir dan pelaksana UPSI bersungguh-sungguh bertugas sehingga meningkatnya kedudukan UPSI di peringkat dunia, malah anak-anak mahasiswa yang mempertahan, membela dan memelihara imej universiti sehingga dihormati masyarakat,” katanya.
“Hari ini UPSI menjadi universiti pilihan pertama masyarakat untuk melanjutkan pengajian, malah paling membanggakan apabila sepanjang tahun lalu UPSI menerima 88 lawatan antarabangsa dan tempatan.
Ketika beliau berada di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini, lebih membanggakan UPSI menjadi rujukan untuk khidmat konsultasi, selain pelbagai pihak menjadikan UPSI sebagai penanda aras dalam pelbagai bidang.
“Selain kejayaan mendapat geran penyelidikan, kita harus memikirkan bagaimana hasil penyelidikan dapat mengubah nasib anak bangsa dan negara seperti dalam mengatasi masalah tidak minat terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.
Prof Datuk Dr Md Amin menganggap dalam meniti cabaran tahun 2024, UPSI perlu mengembalikan peranan dan keberadaannya dalam kalangan masyarakat dengan mengutamakan kecemerlangan dengan jiwa dalam melahirkan keilmuan dan pencetus idea baharu.
Hadir sama Pro Canselor, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Prof Emeritus Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar.