Oleh: Raihana Mohamad Nazeri

Tanjong Malim- Program Program Tautan Kasih yang berkonsepkan kemasyarakatan telah dianjurkan oleh Kelab Al-Mursyidin di Rumah Anak Yatim Baitul Mahabbah, Tanjong Malim, Perak pada 3 Februari yang lalu. Program ini bertujuan untuk membina ukhwah, menerapkan rasa kasih sayang dan keprihatinan dalam diri mahasiswa terhadap anak-anak yatim sekaligus untuk meraikan dan menggembirakan insan-insan istimewa ini dengan pelbagai aktiviti yang menceriakan.

Program ini bermula sekitar jam 9 pagi dengan slot yang pertama iaitu sesi pengenalan yang melibatkan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun. Setelah selesai sesi pengenalan, program diteruskan dengan beberapa aktiviti iaitu latihan dalam kumpulan (LDK) dan sukaneka. Setiap kumpulan turut dibantu oleh beberapa orang fasilitator yang terdiri daripada kalangan ahli Kelab Al-Mursyidin. Pelbagai tema yang diketengahkan menerusi aktiviti LDK seperti kenegaraan, adab dan tajwid.

Aktiviti belon air merupakan aktiviti kemuncak bagi sukaneka turut disertai oleh 20 orang anak yatim yang berusia 5 hingga 8 tahun. Program turut diserikan lagi dengan persembahan nasyid daripada anak-anak yatim Baitul Mahabbah.

Kerjasama merupakan antara nilai yang diterapkan semasa program berlangsung. Ini menunjukkan bahawa, aktiviti yang dijalankan bukan sahaja dapat memberikan kegembiraan, bahkan turut diselitkan dengan beberapa input dan nilai dalam setiap aktiviti.

Sebagai penutup, sesi penyampaian cenderahati kepada setiap kumpulan telah diadakan. Pihak Kelab Al-Muryidin juga turut menyampaikan sumbangan kepada Ustaz Ismail selaku Pengurus Baitul Mahabbah. Diharapkan program ini dapat memberikan manfaat serta dapat memupuk kesedaran dalam diri mahasiswa terhadap keprihatinan dalam kehidupan bermasyarakat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)