Oleh: Nor Hayati Aziz

UPSI, Tanjung Malim –  Program CrossCampus: Nihon- Malaysia Exchange Explorer yang berlangsung pada 28 Februari lalu, anjuran Pusat Ulul Albab (PUA) dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) telah berjaya menghubungkan pelajar dari negara matahari terbit iaitu Jepun dengan Malaysia. Kunjungan dari Japan Da’wah Centre itu telah membawa seramai 9 orang delegasi yang diketuai oleh pengasas Japan Da’wah Centre, Zulkarnain Hasan Basri.

Japan Da’wah Centre (JDC) terletak di Osaka, Jepun merupakan pusat badan dakwah yang ditubuhkan sejak tahun 1980. Program CrossCampus: Nihon-Malaysia Exchange Explorer adalah untuk mempromosi dan memberikan pendidikan tentang agama Islam melalui  iman, ilmu dan inspirasi. Program ini juga bertujuan memperkenalkan dan berkongsi modul-modul Ulul Albab serta mempelajari keindahan budaya warisan di Malaysia dan dapat membina ikatan ukhuwah yang baik antara dua institusi dalam membentuk kekuatan kepelbagaian etnik, sekaligus akan menjadi kebanggaan buat negara yang tercinta.

Program silang budaya adalah inisiatif terbaik ke arah memupuk persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama daripada pelbagai negara. Menurut Pengasas JDC Osaka, Zulkarnain Hasan Basri, JDC merupakan pusat dakwah yang memfokuskan penyebaran informasi Islam dan memberikan  mereka peluang bersyahadah. Katanya lagi, lawatan ini dapat membuka peluang pelajar Jepun mengenali satu sama lain serta memberi pendedahan dan pengetahuan tentang agama Islam di Malaysia.

Pengarah PUA, Dr. Sakinah Salleh berharap agar modul yang dikongsikan dan lawatan ke Pusat Ulul Albab akan memberi hidayah, kekuatan baru dalam pemahaman kepada pelajar dari bumi matahari terbit.

Jurulatih Pusat Ulul Albab, Dr. Fatimah Mohamed berkongsi tentang elemen Quranik Ulul Albab sekaligus memberi pendedahan serta pengukuhan berkenaan pengetahuan Islam, sains dan pengisian rohani kepada para peserta dan pegawai yang hadir. Dr. Fatimah juga berkesempatan melakukan sesi perbincangan dan soal jawab berkenaan elemen elemen Ulul Albab bersama dengan para peserta yang kelihatan begitu bersemangat sekali dalam mendalami ilmu alquran dan sains. Perbezaan budaya dan cara hidup diantara negara Jepun dan Malaysia menambahkan lagi sifat ingin tahu di dalam diri para peserta.

Peserta diberi peluang untuk bermain alat permainan tradisional yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu congkak. Umum mengetahui permainan congkak ialah sejenis permainan tradisional masyarakat Melayu yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan. Para peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil dan mendengar penerangan daripada fasilitator sebelum mula bermain dengan pasangan masing-masing yang juga merupakan ahli Kelab Sahabat Ulul Albab. Para peserta kelihatan begitu teruja sewaktu bermain congkak dan mereka juga tidak lokek bercerita mengenai budaya mereka di Jepun kepada ahli jawatankuasa yang membantu menjayakan permainan tersebut. Interaksi dua hala yang rancak berlaku menjadi bukti bahawa tiada jurang yang tidak dapat dirapatkan walaupun kita berbeza agama dan budaya. 

Lawatan Ke Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI
Lawatan Ke Muzium Geologi, FSM
Lawatan Ke Pusat Islam UPSI

Peserta berpeluang menaiki kereta buggy melawat sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan berkunjung ke Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB). Lawatan ini telah disambut oleh Pustakawan Kanan PTB ,Firdausiah Ahamad dan mereka telah diberi penerangan dan dibawa melawat persekitaran perpustakaan berkaitan  perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada pengguna PTB.

Slot seterusnya membawa para peserta melawat ke Muzium Zoologi yang terletak di Blok 3, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), KSAS. Kunjungan peserta disambut baik oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Madya Dr. Som Cit a/p Si Nang. Peserta diberi penerangan tentang keistimewaan Muzium Zoologi yang mempunyai lebih dari 50 jenis haiwan yang telah diawet termasuk jenis serangga, burung serta haiwan-haiwan lain. Peserta begitu teruja dan bersemangat serta aktif mendengar penerangan serta melihat kawasan di sekitar muzium. Salah seorang peserta, Haruka Kanie, pelajar dari Universiti Doshisha, Kyoto, Jepun, berkongsi perasaan teruja beliau dalam melihat koleksi-koleksi haiwan dan serangga yang dipamerkan.

Pengarah Program CrossCampus: Nihon-Malaysia Exchange Explorer Nur Hannah Fatini Abd Malek,  menjelaskan bahawa program ini telah berjaya mencapai objektif pelaksanaannya dan berharap agar ia dapat memberi lebih banyak manfaat kepada peserta dan ahli jawatankuasa yang terlibat. Para peserta amat teruja dan memberi sepenuh kerjasama sepanjang slot berlangsung serta sangat aktif dalam bertanya soalan yang menunjukkan mereka berminat dan ingin mengetahui tentang agama dan budaya di Malaysia.

Majlis penutupan Program CrossCampus: Nihon-Malaysia Exchange Explorer disempurnakan oleh  Timbalan Pengarah 3, Pusat Antarabangsa dan Mobiliti UPSI, Prof Madya Ts. Dr Shahrul Kadri Ayop dalam ucapannya berkata, beliau kagum dengan usaha yang dijalankan oleh Japan Da’wah Centre dalam membantu masyarakat Jepun mendalami dan mempelajari agama Islam. Beliau juga menyatakan bahawa usaha dakwah ini wajarlah dilakukan bersama dan bukanlah hanya bergantung pada seorang individu sahaja.