Peserta dan penceramah Bengkel Penulisan Jurnal ‘Polish And Submit’ bagi Portfolio 4P

Oleh: Hamizan Samsudin

Kuala Lumpur, 5 Mac 2024- Fakulti Teknikal & Vokasional (FTV) di bawah portfolio Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Pendidikan Sultan Idris menganjurkan Bengkel Penulisan Jurnal ‘Polish and Submit’ Bagi Portfolio 4P (Penerbitan, Penyelidikan, Perundingan, Pengkomersialan dan Inovasi) pada 1 hingga 3 Mac di Ibis Kuala Lumpur City Centre yang melibatkan 21 orang staf akademik dan seorang staf pentadbiran di FTV.

Tujuan utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi bimbingan secara langsung kepada pensyarah FTV terutama pensyarah baharu dalam memperkemaskan penulisan dan menghantar (Polish and Submit) artikel dalam Jurnal Berindeks Scopus mengikut bidang masing-masing.

Sesi Pembukaan bengkel oleh Ts. Dr. Siti Fairuz Yusoff

Melalui penganjuran bengkel ini ia bukan sahaja dapat menyokong penarafan lima bintang dalam Malaysia Research Assessment (MyRA), peningkatan pencapaian dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) dan QS Ranking malah ia dapat membudayakan, mengenalpasti, mempertingkatkan bakat dan profesionalisme dalam kalangan pensyarah fakulti dalam aktiviti penulisan dan seterusnya berjaya menerbitkan Artikel Berindeks Scopus.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FTV, Dr. Norhaizan Usaizan di dalam ucapannya meluahkan perasaan yang sangat gembira dengan komitmen dan fokus yang diberikan oleh semua peserta bengkel dan berharap Key Performance Indicator (KPI) penerbitan pada tahun ini tercapai.

Beliau berkata, “KPI penerbitan tahun ini akan tercapai 200% berdasarkan penglibatan dan komitmen yang diberikan oleh semua peserta semasa bengkel berlangsung.”

“Untuk rakan-rakan pensyarah yang tidak dapat menyertai bengkel kali ini, kita rancang lagi untuk Siri ke-2 bagi fokus penerbitan Q1 pula,” ujarnya lagi.

Pengisian bengkel selama tiga hari ini disampaikan oleh pensyarah dari FTV sendiri iaitu Profesor Madya Dr. Mohamed Nor Azhari Azman yang dimulakan dengan slot Sesi Komunikasi dengan Penerbit Jurnal, diikuti dengan slot hari kedua iaitu Pemurnian Artikel Jurnal, Bedah Pemurnian Artikel Jurnal Kuantitatif, Bedah Pemurnian Artikel Jurnal Kualitatif, Baiki Format, Rujukan dan Kemaskini Komunikasi dengan Penerbit serta diakhiri dengan slot Penghantaran Jurnal dan Rumusan pada hari ketiga.

Norhaizan Usaizan mengakhiri sesi bengkel dengan mengucapkan ribuan terima kasih di atas penglibatan semua peserta dan berharap FTV dapat mencapai sasaran penanda aras yang ditetapkan oleh pihak universiti dalam bidang penerbitan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)