Oleh: Nurul Ainie Abdullah
Tanjong Malim: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPM (PT) telah dirangka bagi melahirkan graduan yang berbakat, berkemahiran dan berilmu yang bersedia menghadapi cabaran abad ke-21. Sejajar dengan hasrat Lonjakan 1 PPM (PT) dalam melahirkan graduan holistik, seimbang dan berciri keusahawanan, pendidikan fleksibel telah diperkenalkan melalui program 3+1 atau 2+2 dengan mengambil kira pembelajaran luar kampus atau berasaskan industri.
Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Bengkel Pengajian Mod 2u2i selama dua hari pada 26 dan 27 Februari di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI bagi memberi penerangan lebih jelas kepada Fakulti yang berpotensi menawarkan program berasaskan Mod Pengajian 2u2i. Antara Fakulti yang terlibat ialah Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).
Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata ’’Melalui program akademik 2u2i, graduan mendapat pengalaman industri yang relevan mengikut bidang pengajian, justeru merapatkan jurang ketidaksepadanan di antara kehendak industri dan graduan yang dihasilkan oleh IPT.’’
Pelaksanaan Mod Pengajian 2u2i ini juga dapat melahirkan graduan yang bersifat peka dan tersedia industri (industry aware and industry ready) yang seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama di antara pihak IPT dan industri dalam mereka bentuk dan menyampaikan program akademik 2u2i secara terus, berstruktur dan formal agar program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan, berdaya saing dan dipacu industri.
Penceramah dari Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh dan Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang Johor yang berpengalaman luas dalam pelaksanaan Mod Pengajian 2u2i telah dijemput untuk berkongsi kepakaran bersama Ketua Jabatan dan Penyelaras Program 2u2i yang terlibat.