Oleh: Mohd Fahmi Mohd Yunus

Tanjung Malim – 23 Februari lalu berlangsungnya Art Sekolahku: Edu-Gamelan iaitu sebuah program pemindahan ilmu kepada masyarakat atau lebih dikenali dengan program CSR. Program kali ini memindahkan ilmu asas seni warisan iaitu muzik gamelan Melayu kepada 19 anak-anak Pusat Jagaan Ustazah Hidayah Fatimah Azzahra’.

Program yang dikendalikan oleh sembilan ahli Kelab Gamelan Margamas dan seorang ahli KESAKTI Gamelan ini memfokuskan asas permainan gamelan Melayu untuk kanak-kanak berumur sekitar 7 hingga 12 tahun. Antara lagu yang diajar adalah Timang Burung dan Togok. Program dimulakan dengan sesi ice-breaking senaman ringan di Laman Sirih Pinang, Blok A. Seterusnya mereka dibawa ke Studio Muzik Gamelan untuk sesi bengkel tersebut selama dua jam 30 minit. Kelab Gamelan Margamas turut membuat persembahan khas dengan membawakan beberapa buah lagu Gamelan antaranya Topeng, Togok, Dikir Puteri dan Perang.

Penulis sempat menemuramah pengasas pusat jagaan iaitu Ustazah Hidayah. Beliau berkata penganjuran program seperti sangat bermanfaat untuk komuniti setempat kerana menurut beliau masih ramai lagi yang tidak mengenali muzik Gamelan dan keindahan muzik tersebut.

“Kanak-kanak yang hadir pada harini amat berpuas hati dan gembira apabila dapat mempelajari muzik Gamelan yang jarang diketengahkan kepada masyarakat. Teknik pengajaran mudah menjadikan pembelajaran muzik Gamelan amat menarik minat mereka.”

Beliau juga berharap agar akan ada kesinambungan program seperti ini di masa akan datang.Program tamat dengan sesi fotografi peserta bersama pengajar dan staf yang terlibat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)