7 Mac, Raub – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan mengambil inisiatif menyerahkan sumbangan kepada komuniti Orang Asli di Pos Buntu, Raub, Pahang.

Menyelami kesempitan dan keperluan segelintir masyarakat kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar di Pos Buntu, Raub mendorong UCTC dan Pusat Ulul Albab menginfaqkan 15 kotak barangan sumbangan berbentuk pakaian terpakai dari Pusat Kaunseling yang terdiri daripada pelbagai pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak.

Sumbangan diserahkan oleh wakil Pusat Ulul Albab, Norhayati Aziz dan wakil UCTC Zaleena Alias kepada wakil komuniti Muhammad Afif Sulaiman selaku Penggerak Masyarakat Orang Asli Pos Buntu, Raub, Pahang.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban hidup serta memberi keceriaan buat individu serta keluarga yang kurang bernasib baik sempena menjelang Ramadan tidak lama lagi.

“Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan dikekalkan serta memberikan sinar kegembiraan buat semua penerima. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga juga buat semua penyumbang yang banyak membantu dalam menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berharap UPSI dapat terus bergerak secara progresif dalam mencari alternatif lain agar usaha kebajikan sentiasa menjadi keutamaan dan menjadi tunggak dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.