Oleh: Mohd. Fahmi Mohd. Yunus
Tanjung Malim – Onde-onde dan kuih ketayap, kuih yang cukup sinonim dengan sarapan pagi masyarakat Malaysia khususnya bangsa Melayu. Terkenal dengan rasa lemak manis intinya kuih ini sesuai dijadikan pencuci mulut tradisional. Menyedari akan pentingnya memelihara warisan seni gastronomi Melayu ini 28 Februari lalu Pusat Kebudayaan (PusKeb) UPSI menganjurkan Qalbu Rabu PusKeb: Cabaran Dapur Seni (Kuih Tradisi) bertempat di Laman Sirih Pinang, Blok A,Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Terbahagi kepada 4 kumpulan yang diwakili oleh 2 peserta setiap kumpulan diberikan masa selama dua jam untuk menyiapkan dua jenis kuih tersebut mengikut warna yang ditetapkan. PusKeb menjemput Zolkipli Abdullah dan Aiman Ikram Uyub dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan sebagai panel penilai bagi kumpulan yang bertanding. Turut membantu dalam program tersebut Nety Erdayanti dan Siti Nurzulaiqha daripada Majlis Perwakilan Pelajar UPSI.
“Penganjuran pertandingan memasak kuih tradisional bersifat santai ini ternyata menggamit nostalgia ketika saya masih kecil. Masih teringat di ingatan air tangan ibu saya menyiapkan kuih muih untuk keluarga kami dan hari ini saya menyediakan kuih mengikut cara ibu saya. Kumpulan kami menggunakan minyak kelapa dara sebagai penambah perisa dengan harapan rakan-rakan turut berpeluang menikmati rasa yang sama seperti air tangan ibu saya,” ujar Dr. Norzuraina Mohd. Nor, Pengarah Pusat Kebudayaan.
Program tamat sekitar 11.55 pagi setelah penjurian selesai diikuti dengan sesi fotografi bersama semua yang terlibat.