Oleh: Mohd. Fahmi Mohd. Yunus

Padang, Indonesia – 8 Mei lalu berlangsungnya perasmian International Minangkabau Literacy Festival (IMLF) 2024 di Istana Gubernur Padang, Indonesia. IMLF 2024 merupakan penganjuran kali kedua anjuran SatuPena berkolaborasi dengan Yayasan Sumbar Talenta Indonesia, Persatuan Pemusi Nasional Malaysia, serta didukung oleh Dinas Pendidikan Sumatera Barat. Sebanyak 200 peserta dari 17 negara yang turut terlibat di dalam festival ini antaranya Rusia, Kemboja, Vietnam, Thailand, Brunei dan tuan rumah iaitu Indonesia. Program yang berlangsung dari 8 hingga 12 Mei ini merupakan salah satu usaha penganjur bagi menghargai dan membudayakan celik bahasa dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Delegasi UPSI yang terdiri daripada pelajar dan staf Pusat Kebudayaan UPSI turut dijemput bagi menjayakan salah satu festival tahunan terbesar di Indonesia. Kumpulan Destar Limar iaitu kelab tari di bawah naungan Pusat Kebudayaan UPSI diberi penghormatan sebagai pembuka tirai dengan mempersembahkan tarian Zapin Tenglu Mak Usu. “Destar Limar membawakan tarian tersebut memandangkan jenis zapin tersebut merupakan salah satu daripada pecahan Tarian Zapin Johor iaitu Zapin Tenglu. Hasrat utama kami adalah ingin memperkenalkan tarian zapin kepada pengunjung yang hadir di samping memberi pendedahan tentang variasi dalam Tarian Zapin Johor serta perbezaan antara Tarian Zapin Johor dan Tari Zapin iaitu tarian tradisional Melayu yang berasal daripada daerah Riau. Semoga persembahan sebentar tadi dapat memberi gambaran dan pendedahan secara tidak langsung kepada penonton tentang perbezaan dan kepelbagaian dalam Tarian Zapin yang terdapat dalam nusantara ini” – Nur Sahafiq Gejati@Gejalik, Yang Dipertua Kelab Tari Destar Limar UPSI.

Majlis pembukaan dirasmikan oleh Sandiaga Salahuddin Uno iaitu Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia. Turut mengisi slot festival iaitu Pengarah Pusat Kebudayaan iaitu Dr. Norzuriana Mohd. Nor yang akan menyampaikan sesi seminar bertajuk Kesenian dan Kebudayaan dalam Pendidikan di Malaysia pada 10 Mei 2024 di Gedung Nasional dan persembahan daripada The Pegawai Band untuk slot pada 11 Mei di Lapangan Cindou Mato.