Oleh: Nur Syafiqah Shafiron

TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Kemanusiaan menganjurkan program Syarahan Tamu yang bertemakan “Memaknai Citra Madani Tadbir Urus Star, Satu Naratif” yang diadakan pada 9 mei bertempat di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI.

Penganjuran program Syarahan Tamu 2024 ini selaras dengan tujuan penubuhan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia (KESUMA) dan merupakan langkah intensif UPSI yang ingin menggerakkan penyelidikan, pendidikan dan kegiatan masyarakat untuk memperkukuhkan konsep masyarakat Madani dalam kalangan mahasiswa, ilmuan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak swasta sejajar dengan peranan universiti untuk menggerakkan pendidikan dan penyelidikan berterusan bagi mengembang luaskan pengetahuan berpanjangan kepada masyarakat secara komprehensif sepertimana yang dikehendaki oleh kerajaan.

Objektif pelaksanaan Program ini dijalankan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan tentang pembudayaan tadbir urus dengan mencitrakan tonggak serta prinsip Malaysia Madani dalam segenap pelaksanaan tadbir urus khususnya sektor awam.

Program Syarahan Tamu anjuran KESUMA yang di adakan di Auditorium KSAJS, UPSI bermula dengan ucapan aluan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor. Dr. Abdul Rahim bin Razalli.

Profesor. Dr. Abdul Rahim Razalli dalam ucapan aluannya telah menyatakan enam tonggak dasar dalam Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan akan dapat membantu tahap efisiensi para penjawat awam khususnya dapat menambah baik cara tadbir urus kerajaan sekaligus membawa kepada pembangunan mapan dan lebih makmur.

Tambah beliau lagi, tadbir urus ini bukan sekadar suatu naratif, namun adalah penting untuk kita menyampaikannya dan sekaligus berusaha membentuk citra tersebut dalam setiap anggota tadbir urus.

Menurutnya, dengan penganjuran program seperti ini, sudah pastinya menunjukkan KESUMA, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) secara amnya komited dan serius dalam hal menjana, melestarikan dan menangani kesejahteraan sejagat terhadap isu-isu sosial termasuklah hal-hal tadbir urus cemerlang.

Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, memulakan ucapannya dengan menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada UPSI atas pengiktirafan sebagai  Employer’s Choice of University 2024 oleh TalentBank baru-baru ini.

Dalam syarahan beliau, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff menekankan kepentingan aspek tadbir urus dalam mendorong kestabilan, kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Beliau juga turut mengajak semua masyarakat untuk cakna dengan beberapa fakta penarafan antarabangsa yang menjadi kayu ukur kepada prestasi Malaysia dalam aspek-aspek berkaitan tadbir urus.

Beliau menyatakan, tanpa tadbir urus yang baik akan memungkinkan sesebuah organisasi terjerumus ke dalam kancah rasuah serta polemik penyalahgunaan kuasa, yang seterusnya akan menghalang dan menjejaskan pembanguanan negara, meluaskan jurang kemiskinan, mengurangkan daya saing negara dan melemahkan sistem pentadbiran.

Lantaran itu, beliau juga turut berkongsi tentang penubuhan STAR yang ditubuhkan bertujuan untuk melihat semula aspek tadbir urus seperti budaya kerja yang lapuk, peraturan yang tidak munasabah dan prosedur yang melambatkan sesuatu perkara, termasuklah kerenah birokrasi. Beliau menyatakan matlamat penubuhan STAR menekankan tentang usaha mempercepat perlaksanaan  dasar dan projek pembangunan asas rakyat, yang berimpak tinggi, boleh dilakukan secara pantas, berkos rendah dan berpaksikan kepada pematuhan peraturan dari tata kelola yang baik.

Tuntasnya, walau apa pun pembaharuan atau reformasi yang hendak dilakukan, pematuhan terhadap aspek tatakelola khususnya peraturan dan undang-undang yang berkaitan hendaklah menjadi keutamaan.

Diharapkan menerusi program Syarahan Tamu 2024 dapat memenuhi objektif dan matlamat yang ingin dicapai disamping dapat memberikan impak positif dalam mendukung aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, inklusif dan lestari seiring dalam menjayakan aspirasi STAR.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr Suriani Abu Bakar, Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman, Dekan FSK UPSI, Prof. Madya. Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, serta Pengarah Program Syarahan Tamu Pusat KESUMA 2024, Dr. Noor Hadzlida Ayob.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)