Oleh : Muhammad Safwan Ismail

Tanjong Malim, 9 Mei 2024– Kursus asas taranum siri 2/2024 telah dianjurkan oleh Unit Takmir Masjid dan Bimbingan yang dihadiri oleh kakitangan dan Pelajar UPSI. Kursus asas taranum ini merupakan lanjutan daripada Kursus Intensif tajwid yang telah berlangsung selama empat siri pada tahun 2023 yang lalu.

Kursus Asas Taranum ini dibimbing khas oleh Penceramah Jemputan, Ustaz Haji Radzi Kamarul Hailan yang merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada tahun 2004. Kursus ini merupakan pendekatan awal kepada warga UPSI dalam mengenali asas suara serta kaedah bertarannum disamping memperkukuhkan kaedah menyebut makhraj huruf sebenar.

Sesi Pemanasan Suara dan teknik Pernafasan 

Sepanjang kursus ini berlangsung para peserta turut diberikan peluang untuk mempraktikkan semula bacaan yang telah dipelajari menggunakan kaedah talaqqi bersama bimbingan Ustaz. Selain itu, Ustaz Haji Radzi juga menyarankan para peserta untuk sentiasa komited dan istiqamah dengan latihan agar apa yang dipelajari menjadi amalan seharian.

Kursus Asas Taranum siri/2024 kali ini para peserta memilih untuk membaca Surah Al-Mulk menggunakan tarannum nahwand, jiharkah dan bayati. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diperkenalkan Ustaz Radzi memberi minat kepada para peserta untuk mencuba walaupun baru mempelajarinya secara pertama kali.

Pada penghujung Kursus Asas Tarannum Siri 2/2024, teknik pernafasan sebenar melalui kaedah membaca Surah Al-Fatihah turut diperkenalkan agar menjadi panduan para peserta dalam melatih pernafasan agar tidak mencuri nafas ketika mempersembahkan bacaan Al-Quran secara bertarannum.

Semoga Program seperti ini mampu memberikan impak khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi bagi memastikan asas bacaan Al-Quran diperkukuhkan supaya menjadi panduan buat golongan belia yang lain untuk mendalami ilmu taranum serta melazimi bacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian.