Gemas, Negeri Sembilan – Jelajah Ulul Albab 6.0 : Future Caliph, berlangsung dari 3 hingga 5 Mei Pusat Ulul Albab (PUA) dan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertempat di SMK Felda Palong 7, Gemas. Program ini berfokuskan kepada slot kepimpinan yang membentuk dan membantu seramai 50 orang pelajar sekolah yang terdiri daripada barisan pengawas di sekolah tersebut.

Jelajah Ulul Albab SMK Palong siri 2 menampilkan 5 modul kepimpinan yang baharu iaitu Motivasi Diri, Kerjaya Pilihan, Tolibul Abqari, Life Survival serta modul Protokol dan Etiket. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak sekolah tersebut tetapi turut membuka peluang kepada ahli Kelab Sahabat Ulul Albab untuk mempersiapkan diri sebagai bakal guru pada masa akan datang.

Program sebelum ini mendapat reaksi yang positif daripada pihak sekolah dan prestasi badan kepimpinan pelajar meningkat selepas mengikuti program siri 1.

Slot pertama dimulakan dengan membawa modul Ice Breaking. Terdapat pelbagai permainan yang dijalankan untuk memastikan para peserta saling mengenali antara satu sama lain dan mampu menguatkan lagi ikatan sesama mereka.

Motivasi Diri memberi fokus untuk meningkatkan kerjasama dalam pasukan. Modul ini akan membantu pelajar membentuk kerjasama kumpulan serta keyakinan agar mereka dapat melaksanakan tugas sebagai pengawas yang akan bekerja dalam pasukan dengan baik dan lancar. Slot ini dimulakan dengan mengenal pasti target serta kelemahan setiap individu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menambahbaik segala kekurangan yang dihadapi. Slot motivasi diri diteruskan dengan permainan yang dapat membantu meningkatkan keyakinan peserta melalui aktiviti yang berteraskan kemahiran komunikasi serta kerjasama dalam kumpulan serta menguji kemahiran peserta.

Seterusnya, modul Kerjaya pilihan pula dapat membantu para peserta bagi menentukan halatuju pendidikan khususnya setelah tamat belajar di peringkat sekolah menengah. Slot ini turut membincangkan berkenaan dengan pelbagai peluang pendidikan di peringkat pengajian tinggi ditawarkan mengikut minat bidang atau cita-cita yang ingin dikecapi para peserta pada masa hadapan.

Para peserta bukan sahaja didedahkan dengan kemahiran dalam aspek kepimpinan tetapi juga turut diberikan kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan pengurusan dan perhubungan sekeliling. Modul Tolibul Abqari ini merupakan slot yang melengkapkan kemahiran perserta sebagai  seorang pelajar serta seorang pengawas pemimpin di sekolah. Modul ini disampaikan berdasarkan akronim R.A.O.F iaitu Rapport, Aware, Outcome dan Flexible. Kefahaman serta penguasaan peserta terhadap modul ini, akan membantu mereka untuk menjadi seorang pengawas yang lebih peka akan keadaan sekeliling serta berkebolehan untuk menjalankan tugas di bawah tekanan yang tinggi.

Peserta juga didedahkan dengan modul aktiviti luar kelas iaitu modul Life Survival. Modul ini telah direka khas bersesuaian dengan keadaan cuaca yang agak panas ketika ini bagi mengelak berlakunya masalah kesihatan khususnya buat para peserta. Modul ini dapat menilai tahap kepimpinan serta kerjasama pasukan dalam menyelesaikan tujuh tugasan yang berbeza dalam tempoh masa yang ditetapkan. Setiap tugasan membawa maksud yang tersirat berkaitan tanggungjawab dalam menjadi seorang pemimpin. Setiap modul akan diakhiri dengan refleksi yang akan diberikan oleh para fasilitator serta wakil peserta. Setiap stesen mempunyai permainan yang berbeza dan juga justifikasi yang berbeza. Sebagai contohnya, stesen yang pertama memerlukan pelajar untuk menggunakan kemahiran berkomunikasi non-verbal iaitu dengan meneka peribahasa melalui gaya yang ditunjukkan oleh rakan mereka. Para peserta terlihat sangat seronok ketika melaksanakan aktiviti ini di samping memperolehi ilmu yang bermanfaat.

Pada malam tersebut juga telah diadakan slot Palsaven’s Shine Bright Night. Kemahiran dan kelebihan para peserta dicungkil melalui lakonan mengikut tema yang telah diberikan dan bertujuan untuk memupuk keberanian peserta untuk tampil  kehadapan agar dapat berkomunikasi dengan lebih yakin.

Modul yang terakhir ialah modul Protokol dan Etiket bagi memantapkan kebolehan kepimpinan pelajar untuk menguasai protokol majlis rasmi dan tidak rasmi yang bakal diadakan di sekolah. Peserta diajar bagaimana untuk menguruskan sesuatu majlis dari semua aspek termasuk kedudukan VIP, cara berkomunikasi secara formal, menjadi pengacara majlis dan sebagainya. Modul ini mendapat pujian daripada barisan pentadbir sekolah tersebut dan menunjukkan hasil yang baik apabila peserta mampu mengendalikan majlis formal dengan baik sekali.

Penolong Kanan Pentadbiran, Hajjah Basimah Abdul Majid dalam ucapannya merakamkan jutaan terima kasih kepada UPSI dan KeSUA kerana sudi menerima jemputan dari pihak sekolah untuk berkongsi dengan pelajar SMK Palong 7 serta mengadakan program motivasi kepimpinan yang mana dapat memberi manfaat kepada peserta. Tambah beliau lagi, kem sebegini mampu meningkatkan potensi pelajar dalam menjadi seorang pemimpin serta membuka minda pelajar untuk berfikiran lebih kreatif dan kritis. Bukan itu sahaja, program ini juga dapat memberi inspirasi kepada pelajar khususnya para pelajar SMK Palong 7 untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti dengan kehadiran mahasiswa UPSI. Beliau juga berharap kerjasama antara pihak sekolah dengan KeSUA dan PUA tidak berakhir sampai di sini sahaja. Pihak sekolah amat mengalukan-alukan kedatangan Kelab Sahabat Ulul Albab dan Pusat Ulul Albab pada masa akan datang.

Majlis penutupan Program Jelajah Ulul Albab 6.0 : Future Caliph disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Kanan Pusat Ulul Albab, Nor Hayati Aziz, . Beliau juga merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah yang memberikan kepercayaan kepada pihak Pusat Ulul Albab untuk mengendalikan program tersebut buat kali yang kedua. Tambah beliau, program ini bukan sahaja berguna untuk para peserta akan tetapi ia juga sangat bermanfaat kepada para fasilitator yang merupakan pelajar UPSI untuk mempersiapkan diri menghadapi situasi sebenar di sekolah pada masa akan datang sebagai bakal pendidik generasi baharu.

Pengarah Program Jelajah Ulul Albab 6.0: Future Caliph, Mohamad Adikah Amad menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan pelaksanaan program ini dan bantuan daripada sahabat-sahabat serta pihak sekolah. Program ini telah berjaya mencapai objektif utamanya yang bukan sahaja membentuk pelajar yang kreatif, bijaksana, dan berilmu tetapi juga sebagai seorang pengawas sekolah yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik di samping membina jati diri para peserta.

Beliau juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada guru pembimbing Badan Kepimpinan pelajar SMK Palong 7, Mohamad Shukran Abdul Halim, yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini kerana beliau banyak membantu dari pelbagai aspek teruamanya dalam mengurus pelajar-pelajar yang sakit malahan beliau juga sentiasa bersama dengan kami dan para peserta sepanjang tiga hari dua malam program berlangsung. Diharapkan program-program seperti ini tidak akan terhenti setakat disini sahaja tetapi harus disebarluaskan lagi kerana manfaatnya yang sangat banyak.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)