Oleh: Noliza Yeop Kamarudin
13 mei 2024

Tanjong Malim: Program Santai Komuniti telah menjadi wadah yang penting dalam membina hubungan yang kukuh dalam masyarakat. Ia bukan sahaja menyediakan ruang untuk bersosialisasi tetapi juga memperkukuhkan ikatan di kalangan penduduk tempatan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Kolej Za’ba dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menganjurkan Program Santai Komuniti bertempat di Dataran Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Program ini turut dibantu oleh Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba dengan kerjasama Rakan UCTC serta peserta program daripada Sekolah Menengah Karak, Pahang.

Antara aktiviti yang diadakan semasa program ini adalah Jualan Rahmah Madani, booth jualan makanan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun, senamrobik dan pertandingan sukan rakyat. Dengan kehadiran lebih dari 200 pengunjung di Daerah Muallim ini telah menghidupkan suasana program pada hari tersebut.

Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata “Program Santai Komuniti bukan hanya sekadar acara sosial, tetapi juga merupakan aspek penting dalam membina masyarakat yang progresif disamping memperkukuh solidariti masyarakat.”

Beliau turut berkata melalui penyelenggaraan program yang berkualiti dan menyeluruh, kita dapat memperkukuhkan ikatan di kalangan penduduk tempatan dan menjadikan komuniti kita tempat yang lebih baik untuk didiami.

Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, Timbalan Pengarah UCTC.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)