Oleh: Aida Najwa Zahidan & Nurin Jaafar

Tanjong Malim – Kelab Pemadam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama PEMADAM Muallim, PEMADAM Negeri Perak dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Muallim telah menganjurkan sebuah program yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar UPSI mengenai tanggungjawab untuk membantu komuniti dalam pencegahan penggunaan dadah. Pelajar universiti tidak terkecuali daripada terlibat dengan salah laku penggunaan dadah. Menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan penggunaannya tidak disalahguna.

Dalam program Pencegahan Dadah Siri 1: Community-Based Prevention Strategies: Live Without Drug, pendekatan yang dibawa berbeza berbanding program-program mengenai pencegahan penyalahgunaan dadah yang pernah diadakan sebelum ini. Dalam program ini, peserta yang terlibat bukan sahaja dapat mendengar tips yang dikongsikan oleh panel penceramah yang terlibat, malah dapat mendengar secara terus pengalaman hitam yang dilalui oleh mereka yang pernah terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang ini. Perkongsian secara terus ini memberi gambaran situasi sebenar dan perasaan nyata yang pernah dialami oleh mereka yang terlibat. Hal ini kerana, mereka pernah merasai sendiri bagaimana pegalaman mengambil barang terlarang tersebut.

Program ini juga dapat membantu ibu bapa dalam membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan ahli keluarga. Perkongsian yang diberikan tidak hanya tertumpu kepada mahasiswa universiti sahaja, malah melibatkan komuniti setempat. Tambahan pula, dalam dunia yang penuh cabaran ini, murid sekolah juga terdedah dan mempunyai akses untuk mendapatkan dan terlibat secara terus dalam salahguna dadah. Oleh yang demikian, perkongsian pengalaman mereka yang pernah terlibat ini memberikan situasi sebenar kepada ibu bapa detik permulaan seseorang mula berjinak-jinak dengan bahan tersebut. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga didedahkan dengan ilmu dan pelan untuk merawat serta menguruskan ahli keluarga yang terlibat dengan dadah.

Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya bermula awal pagi dengan memulakan aktiviti regangan dan sesi ice breaking bagi meningkatkan suasana serta kecergasan peserta yang terlibat. Walaupun program pada kali ini melibatkan pelbagai peringkat umur, namun sambutan yang diberikan oleh peserta amat memberangsangkan. Bagi mendengar perkongsian dan pengalaman daripada mereka yang pernah terlibat, slot ini dilaksanakan dalam bentuk kumpulan supaya peserta dapat menjiwai dan menghayati perkongsian yang ingin diceritakan. Hal ini juga dapat menjaga sensitiviti mereka yang terlibat supaya tidak terlalu malu untuk menceritakan pengalaman yang pernah mereka rasai.

Program ini telah memberi ilmu dan perkongsian yang sangat berguna dan bermanfaat kepada semua peserta yang terlibat. Perkongsian daripada mereka yang pernah terjerumus juga memberi pengajaran dan peringatan kepada semua peserta untuk tidak mencuba atau terlibat dalam salahguna dadah. Diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan dimasa akan dating dalam usaha untuk memberi pengetahuan dan berkongsi pengalaman kepada masyarakat tentang bahaya penggunaan dadah.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)