Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Sukan UPSI telah menganjurkan satu Kursus Asas Skuba dengan Kerjasama Career One Divers sebagai instruktor sepanjang berlangsungnya kursus ini. Kursus ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Mac lalu bertempat di Kolam Renang, Kompleks Sukan UPSI.
Kursus terbuka ini akan melahirkan budaya bersukan dalam kalangan warga UPSI untuk menjurus kepada gaya hidup sihat yang disertai seramai 24 orang peserta terdiri daripada 4 orang staf dan 20 orang pelajar. Kursus turut menampilkan instruktor daripada Career One Divers yang mempunyai pengalaman yang luas dan juga turut mempunyai lesen kepakaran yang diiktiraf daripada Scuba Diving International (SDI).

Kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada warga UPSI tentang salah satu lagi sukan dan rekreasi yang baik untuk mental serta fizikal. Bukan itu sahaja, penganjuran kursus ini ialah untuk menggalakkan serta mengekalkan hubungan muhibah dalam kalangan warga UPSI, menyediakan aktiviti air yang sistematik dan terancang untuk peserta sekaligus meningkatkan produktiviti kerja harian peserta, selari dengan banyak bukti saintifik yang menunjukkan peningkatkan prestasi kerja hasil peningkatan tahap kecergasan fizikal.


Pengisian kursus ini mendedahkan kepada peserta mengenai Discover Scuba Diving yang mana peserta dapat mempelajari asas-asas dalam menyelam. Asas-asas tersebut ialah peralatan skuba, isyarat tangan, pengawalan pernafasan dan teknik membersihkan topeng muka. Tambahan lagi, mereka juga turut membuka peluang kepada sesiapa yang ingin melanjutkan kursus dengan mengambil lesen yang mereka tawarkan iaitu Open Water Diver.