Oleh: Mohd Faudzi Umar

Manjung , 10 Mac 2024- Pusat Islam dan Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dijemput oleh Jabatan Mufti Negeri Perak ke Majlis Rukyah Hilal Ramadan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baharu, Manjung sempena melihat anak bulan Ramadan bagi tahun 1445H. Oleh itu, Jabatan Fizik turut bersama dalam majlis tersebut dengan menyediakan kelengkapan teleskop jenis maksutov, dikendalikan oleh Mohd Faisal Mohd Yassin.

Majlis tersebut dihadiri oleh tetamu dan dif-dif jemputan termasuklah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan iaitu Sahibus Samahah Dato’ Haji Wan Zahidi Wan Teh. Turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak. Jabatan Ukur dan Pemetaan Perak, Juruukur Daerah Perak Barat, dan Juruukur Daerah Perak Utara, dan juga JUPEM Perak turut serta dalam aktiviti mencerap anak bulan di majlis tersebut. Manakala, wakil dari UPSI dihadiri oleh Pengarah Pusat Islam UPSI, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Rahman dan Kakitangan Pusat Islam, serta Majlis Perwakilan Pelajar UPSI.

Taklimat ringkas berkenaan aktiviti mencerap anak bulan telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Faizal Jani, Ketua Bahagian Falak sebelum pencerap-pencerap bersiap sedia dengan kelengkapan masing-masing, seperti teleskop dan tiodolit sekitar jam 6.45 petang.

Tempoh efektif melihat anak bulan wajar dilakukan adalah sepanjang tempoh terbenamnya matahari bermula jam 7.31 petang sehinggalah 7.37 petang. Walau bagaimanapun, tiada kenampakan anak bulan sepanjang tempoh berkenaan oleh semua ahli pencerap.

Majlis tamat sekitar 8.00 malam selepas pengumuman ketidaknampakan anak bulan oleh Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, Sahibus Samahah Dato’ Haji Wan Zahidi Wan Teh.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)