LANGKAP: Perkongsian ilmu daripada Kelab UPSI Innobotics telah dijalankan di SMK Dato’ Sagor pada 2 Februari lalu bersama Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program begini memberikan pengetahuan dan pendedahan awal kepada pelajar tingkatan 1 mengenai sistem kawalan elektronik yang bakal dipelajari semasa tingkatan 2 untuk subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Aktiviti yang dilaksanakan di SMK Dato’ Sagor adalah pameran Line Follower Robot, Obstacle Avoiding Robot, Soccer Robot dan Mechanum Robot dengan memberi penerangan bagi setiap fungsi komponen elektronik dan simulasi kaedah pengendalian robot.  Pelajar juga diberi peluang untuk mengendalikan Soccer Robot.

Pelajar Tingkatan 1 cuba mengendalikan Soccer Robot
Ahli UPSI Innobotics menunjukkan komponen elektronik

Seramai 150 orang pelajar tingkatan 1 telah dipecahkan menjadikan kumpulan kecil untuk membuat eksperimen asas elektronik menggunakan mikropengawal Arduino Uno dan komponen elektronik seperti LED, perintang dan buzzer.  Pelajar dapat merasai sendiri cara penyambungan dan pengaturcaraan untuk mengawal litar.

Rata-rata pelajar amat teruja dengan kehadiran ahli kumpulan UPSI Innobotics yang terdiri daripada pelajar-pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional, di bawah bimbingan pensyarah Jabatan Teknologi Kejuruteraan, Dr. Fardila Mohd Zaihidee, untuk memberikan pengalaman yang berharga bersama-sama menyaksikan pemasangan robotik dan sistem pengaturcaraan. Kelebihan dapat dirasai apabila pelajar sekolah dapat mengendalikan kawalan robotik.

Sesi demonstrasi fungsi dan kendalian robot
Sesi penerangan untuk menjalankan eksperimen mikropengawal Arduino Uno

Kami berharap agar penganjuran begini mampu memberikan manfaat dan pengalaman berharga kepada pelajar sekolah SMK Dato’ Sagor untuk mendapatkan ilmu pengetahuan serta merasai sistem robotik secara fizikal.