Oleh: Hamizan Samsudin
Zhuzhou, China 12 Mac 2024 – Fakulti Teknikal & Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan lawatan kerja ke Hunan Automative Engineering Vocational College (HAEVC) yang terletak di Bandar Zhuzhou, Wilayah Hunan, China pada 6 hingga 9 Mac lalu.
Delegasi yang diketuai oleh Dekan FTV, Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain diiringi Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Zaliza Hanapi, Dr. Tang Jing Rui, Dr. Azizul Qayyum Basri dan Helmi Mukhsin.
Lawatan kerja ini merupakan rentetan daripada hasil perbincangan awal pelaksanaan kerjasama pada 11 Disember 2023 di antara pihak pengurusan UPSI dengan empat orang wakil HAEVC yang diketuai oleh Timbalan Presiden HAEVC, Zhou Jinzong bagi membincang dan menjalinkan kerjasama program kampus satelit dan latihan berkaitan automatif yang menjurus kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Justeru, lanjutan perbincangan perlu dilakukan bagi memutuskan perincian-perincian yang diperlukan di dalam Memorandum Perjanjian (MoA) yang bakal ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak di mana asas utamanya adalah untuk menjadikan FTV sebagai peneraju penghasilan tenaga mahir berteraskan Green Energy di dalam bidang automotif tercapai.
Lawatan kerja ini dimulakan dengan sesi perbincangan bersama pihak pengurusan tertinggi HAEVC iaitu Presiden Dr. Yin Wanjian bagi menjalinkan kerjasama mempertingkatkan kepakaran dalam bidang Automotif Green Energy yang dapat meningkatkan usahasama penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Seterusnya, lawatan hari kedua lebih tertumpu kepada lawatan industri automatif di BAIC MOTOR Corporation LTD, CRRC Zhuzhou Locomotive Co., Ltd. Zhuzhou dan Zhuzhou International Circuit. Tujuan utama lawatan industri ini dibuat adalah untuk melihat cara pembuatan kereta elektrik, sistem kawalan lokomotif dan litar lumba di sana.
Hal ini bertepatan dengan harapan Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff supaya UPSI bekerjasama dengan HAEVC untuk membangunkan modul Persijilan Profesional dalam bidang Pengurusan dan Penyelenggaran Kenderaan Generasi Baru yang menjadi keperluan kritikal industri automotif negara, terutama di Wilayah Automotive High Tech Valley (AHTV), Proton City.
Justeru, melalui penganjuran lawatan kerja ini ia menjadi petanda terhadap komitmen dan sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan FTV, UPSI dalam menjadikan AHTV sebagai hub industri automatif negara dan juga rantau ASEAN.
Dr. Azlan berharap agar kerjasama bersama HAVEC bukan sahaja dapat mewujudkan pusat kecemerlangan di kedua-dua buah negara malah ia dapat meningkatkan program mobiliti pengantarabangsaan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UPSI.