TANJONG MALIM: Kelab UPSI Innobotics, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan pameran robot sempena Kolokium Projek Tahun Akhir FTV 2024 di Bengkel Jahitan FTV pada 1 Februari lalu.
Program ini diadakan bertujuan untuk memberi perkongsian dan ilmu mengenai robotik kepada pelajar UPSI tentang penggunaan robotik. Simulasi robot dari saiz sederhana sehingga besar mampu menarik mahasiswa UPSI bagi mendapatkan maklumat lebih mendalam mengenai cara kerja, pembinaan serta cara pengendalian robot.
Pemeran ini dimeriahkan lagi dengan kunjungan daripada pelajar Kolej Vokasional Muar, Johor seramai 30 orang pelajar. Pelajar Reka Cipta semester 5 juga turut menyertai pameran robotik ini dengan mempamerkan hasil kerja robot mereka sendiri seperti Robot Sumo dan sebagainya.
Bagi memberi pengalaman baru, pengunjung yang hadir seperti pensyarah, kakitangan FTV dan pelajar UPSI boleh mengendali Soccer Robot menggunakan telefon pintar. Pengunjung yang membuat jaringan gol terbanyak akan menerima hadiah yang menarik. Soccer Robot ini dapat dikendalikan dengan pengaturcaraan untuk mengawal pergerakan yang mampu dilaksanakan secara kawalan jauh iaitu remote control menggunakan telefon pintar.
Pameran ini telah berjaya menarik lebih 2000 pengunjung bagi menyaksikan simulasi kaedah pengendalian robotik daripada Kelab UPSI Innobotics. Program sebegini diharap mampu dianjurkan lagi pada masa hadapan untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada pelajar UPSI serta komuniti supaya pendedahan impak tinggi dalam sistem pelajaran STEM untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.