Mei 6, 2024
Hulu Selangor: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI dengan kerjasama Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan pelbagai program dan kursus dengan tujuan berkhidmat dan membangun komuniti.
UPSI menyediakan pelbagai dan kursus yang berasaskan TVET (Teknikal dan Vokasional Pendidikan dan Latihan) bersama komuniti di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 30 April hingga 6 Mei baru-baru ini.
Antara kursus dan program yang dijalankan adalah Kursus Masakan Aneka Mi, Kursus Pembuatan Kek dan Pastri, Kursus Pembuatan Pau, Kursus Masakan Barat, Kursus Manikur (rawatan kuku), Program Latihan Servis Pendingin Hawa, Program Pendawaian Elektrik, Program Menservis Motorsikal dan Program Rawatan Gigi.
Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah menyatakan melalui program dan kursus yang disediakan, komuniti boleh menguasai kaedah dan prosedur yang betul bagi memproses dan menghasilkan pelbagai produk dan servis sekaligus membuka peluang untuk mereka mempertingkat produktiviti dan menjana ekonomi sampingan.
Melalui perkongsian ini, komuniti dapat memperluaskan pengetahuan mereka dalam dunia kulinari, perkhidmatan, dan kemahiran hidup disamping membina rangkaian sosial yang positif.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang berguna sambil memberi kembali kepada komuniti melalui projek-projek khidmat masyarakat yang membantu mengurangkan jurang kemahiran serta meningkatkan pendidikan dan latihan berkualiti” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff juga berpendapat bahawa program-program seperti ini membantu menggerakkan pembangunan komuniti dengan menyediakan akses kepada pendidikan, kemahiran, dan pengetahuan yang diperlukan untuk membina masyarakat yang lebih kukuh dan berdaya tahan. Ini juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan dan mengurangkan jurang sosial dan ekonomi.
Turut hadir, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir beramah mesra bersama komuniti yang menyertai Kursus Masakan Aneka Mi, Kursus Pembuatan Kek dan Pastri serta Kursus Manikur (rawatan kuku) di Balai Raya Kg. Pasir, Kerling.