Oleh: Muhammad Haziq Mat Said

Tanjong Malim, 7 Mei 2024- Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Majlis jamuan Hari Raya ‘Riang Ria PTQ’. Program yang julung kali diadakan oleh Persatuan Tahfiz Qiraat  melibatkan pensyarah Jabatan Pengajian Islam dan pelajar AT36 seramai 180 orang.

Ketua Jabatan Pengajian Islam, Prof. Madya. Dr Husna Binti Husain berkata “sambutan seumpama ini dapat menjadi medan untuk merapatkan hubungan antara pensyarah dan pelajar. Ia juga menyaksikan ukhuwah terjalin erat dan kerjasama semua warga JPI menjadi sangat baik.  Situasi ini boleh menjadi pemangkin ke arah kejayaan JPI pada masa akan datang. Pelajar juga diharapkan melengkapkan diri sebagai guru tahfiz sebelum menamatkan pengajian di UPSI”.

Sambutan ini disajikan dengan pelbagai jenis makanan yang disediakan mengikut ‘batch’ dan berkonsepkan ‘potluck’. Antara menu yang disediakan  adalah lemang dan rendang, nasi himpit dan sate, spageti, kuih muih, nasi tomato dan banyak lagi.  Acara hari ini juga dimeriahkan dengan pengacara dalam kalangan pelajar tahfiz sendiri iaitu saudara Badrul dan saudara Amir.  Majlis diserikan dengan persembahan oleh wakil setiap ‘batch’. Antaranya ialah persembahan Sajak oleh ‘batch’ Zahrawi dan Thariq serta Nasyid oleh ‘batch’ Sya’rawi dan Al-Azraq.

Sumbangan khas duit raya turut diberikan kepada pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim yang disumbangkan daripada Kutipan Infaq Ramadhan Keluarga Tahfiz AT36. Turut diadakan cabutan bertuah dan anugerah pakaian terbaik.

Menurut Penasihat Persatuan Qiraat, Ustazah Ummikalsum Mat Lazim,  kejayaan penganjuran sambutan ini adalah hasil kesungguhan dan dedikasi semua pimpinan Khalidul Awwali PTQ dan semua ahli PTQ. Semoga silaturrahim yang terjalin hasil majlis Riang Ria ini memberi semangat baharu kepada PTQ untuk menyinar dengan lebih cemerlang bertepatan dengan slogan PTQ: The Next Level.

Semoga Aidilfitri dirai pada tahun ini dapat memberikan manfaat dan kebaikan yang lebih, terutama dalam memelihara hubungan kekeluargaan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)