Tanjong Malim- Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah pengurusan Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah telah menganjurkan sebuah program yang bersifatkan kemasyarakatan atau khidmat bakti iaitu Program Raikan Sunnah Syawal Bersama yang telah berlangsung di Masjid Al-Mursyidin pada 29 April lalu.

Program ini merupakan suatu aktiviti sosial yang dapat mengeratkan hubungan sesama muslim terutamanya dalam kalangan para pelajar UPSI. Selain itu, progam ini juga dapat memupuk para pelajar tentang tanggungjawab dalam memastikan pembaziran makanan yang memberi tumpuan kepada kerugian daripada pengeluaran dan juga mendorong pelajar untuk beramal bagi kesejahteraan dan kebaikan orang lain terutamanya sesama pelajar yang selaras dengan Amalan Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) khususnya menekankan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh) telah dijalankan. Sehubungan dengan itu Persatuan Geografi telah mengambil inisiatif merencana program ini yang telah melibatkan seramai 12 orang sukarelawan daripada mahasiswa PERGEO.

Sesi berbuka puasa bersama VIP, sukarelawan dan para peserta Program Raikan Sunnah Syawal Bersama

Program yang dijalankan ini bertujuan untuk membentuk keperibadian pelajar universiti yang memiliki sahsiah diri yang terpuji, berbudi bahasa dan berakhlak mulia. Selain itu, progam ini juga dapat memupuk sifat mensyukuri nikmat berbuka secara beserdahana dengan tidak membazirkan makanan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah. Bukan itu sahaja malah, program ini juga menyediakan makanan dan minuman kepada muslimin dan muslimat yang sedang melaksanakan ibadah berpuasa sunnat Syawal yang disunnatkan untuk berpuasa selama 6 hari.

Turut hadir, Naib Yang Di-Pertua 2 Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2023/2024, UPSI, Muhamad Amirul Hisyam Mohamad Izam sebagai perasmi program dan Yang Di-Pertua Persatuan Geografi iaitu Bushra Assyakira Baharil. Program ini juga telah dipimpin oleh Pengarah Program, Nurul Syahira Roslaili dan dibantu oleh Timbalan Pengarah Program iaitu Al-Saidin Nuh Hassan yang juga daripada Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah, Persatuan Geografi sidang 2023/2024.

Menurut Bushra Asyakira, program ini bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa supaya merebut peluang untuk mempertingkatkan amalan ibadat puasa sunat di dalam bulan Syawal. Beliau juga berharap dengan pelaksanaan program ini dapat melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek. Di samping itu, secara tidak langsung ia turut memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa UPSI.

Selain itu, beliau juga menambah bahawa selain daripada menahan lapar dan dahaga pada siang hari, berpuasa turut mengajar erti kesabaran, ketabahan dan selalu mensyukuri nikmat yang diperolehi. Selain itu, selari dengan matlamat ini, setiap mahasiswa perlulah bersama-sama menyempurnakan tahap keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan melakukan amalan lain yang merupakan nilai tambah seperti memperbanyakkan sedekah yang boleh meningkatkan lagi ketaqwaan terhadap Allah SWT.

Amirul Hisyam berkata bahawa beliau berharap agar Program Raikan Sunnah Syawal Bersama pada kali ini dapat menjadi wadah untuk meningkatkan amalan sunnah selepas Bulan Ramadan dalam kalangan mahasiswa. Beliau juga percaya bahawa Program Raikan Sunnah Syawal Bersama merupakan langkah bijak, menjadikan institusi pendidikan sebagai medium untuk melaksanakan amalan yang baik. Melalui program ini, mahasiswa dapat memanfaatkan kesempatan untuk saling berkenalan dan mendalami ilmu agama. Semoga dengan kehadiran mahasiswa dalam Program Raikan Sunnah Syawal Bersama dapat membangunkan hubungan yang erat di antara mahasiswa UPSI, menciptakan lingkungan kampus yang inklusif dan ramah antara sesama insan.

12 orang sukarelawan Program Raikan Sunnah Syawal Bersama bersama Yang Di-Pertua Persatuan Geografi UPSI

Program Raikan Sunnah Syawal Bersama ini secara tuntasnya telah berjaya memberi inspirasi kepada para sukarelawan program terutamanya aktivis PERGEO agar terus mengorak langkah dalam menganjurkan program yang bersifat kesukarelawanan atau khidmat bakti kepada masyarakat.

Keseluruhan Program Raikan Sunnah Syawal Bersama ini berlansung dengan lancar dan tersusun serta memberi impak positif kepada semua peserta dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak lansung. Diharapkan dengan anjuran program pada kali ini, menjadi dorongan dan pemangkin semangat terutamanya kepada barisan kepimpinan dan aktivis PERGEO untuk melatih diri dalam mengembangkan lagi kemahiran kepimpinan dan insaniah dalam diri mereka.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)