Oleh: Cik Ummikalsum Mat Lazim (Penasihat PTQ) & Muhamad Nazrul Azad

Putrajaya – Seramai 110 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai lawatan sambil belajar ke Nasyrul Quran yang terletak di Presint 14, Putrajaya. Lawatan ke Kompleks Nasyrul Quran ini merupakan suatu usaha untuk memberi pendedahan kepada pelajar kursus Iadah Al-Quran daripada Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al Quran dan terbuka kepada seluruh mahasiswa UPSI pelbagai bidang seperti ISMP Pendidikan Islam, ISM Bahasa Arab dengan Pendidikan, ⁠ISMP Kesusasteraan Melayu,⁠ ISMP Pendidikan Khas, ⁠ISMP Sastera, ISMP Teknologi Maklumat, ISMP Bimbingan dan Kaunseling, ISMP Geografi, ⁠ISMP Sains, ISM Pentadbiran Perniagaan, ISMP Kimia, ISMP Bahasa Melayu, ⁠ISMP Teknologi Reka Bentuk Berkomputer, ⁠ISMP Pendidikan Awal Kanak-kanak. Lawatan ini bertujuan memberikan pengetahuan tentang proses pencetakan Al-Quran di Malaysia yang merupakan pusat pencetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang program ini berlangsung adalah bagi memberi peluang kepada pelajar untuk melihat proses pencetakan al-Quran, di samping memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri pelbagai jenis penulisan khat, seni bina dan hiasan dalaman Islam dan kaedah pencetakan yang digunakan untuk menghasilkan senaskah al-Quran di kompleks ini.

Program ini telah mendapat maklum balas yang memberangsangkan dalam kalangan mahasiswa UPSI. Banyak bahan pameran yang dapat menambah ilmu di kalangan mahasiswa. Antara yang menarik ialah: Mushaf Quran dari seluruh dunia, Mushaf Quran Uthman bin Affan, Pameran Galeri Hiasan Dalaman dari Turki, Iran dan Malaysia, Kain Kiswah Kaabah, Artifak Rasulullah (ﷺ) Replika Pedang Rasulullah (ﷺ) dan Para Sahabat dan banyak lagi. Juga terdapat ‘Program Waqaf Al Quran Ke Seluruh Dunia’ termasuk Waqaf Al Quran kepada AL-Aqsa. Program ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menyumbangkan derma untuk waqaf Al-Quran ke seluruh dunia.

Tahniah kepada semua mahasiswa UPSI yang terlibat menjayakan program ini. Diharapkan program lawatan ini dapat memberi dorongan kepada mahasiswa UPSI untuk lebih menghayati dan menghargai Al-Quran melalui informasi sejarah dan kesenian Islam.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)