17 Mac, Tanjong Malim – Seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar lepasan pra universiti telah menyertai Program Youth Empowerment Seminar (YES) 2024 selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mac 2024 bertempat di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pelajar dalam slot perkongsian ilmu di Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI
Program anjuran Yayasan Kebajikan Muslim iaitu MyFundAction dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Pusat Islam UPSI ini adalah siri program yang dilaksanakan di bawah kluster kedua yang mendasari segala program dan aktiviti MyFundAction iaitu Pendidikan. Program ini merupakan satu program edisi khas untuk pelajar-pelajar lepasan pra universiti seperti matrikulasi, asasi, STPM atau mana-mana program persediaan universiti sebagai platform untuk mereka mengenali potensi dalam diri, penentuan hala tuju pengajian dan prospek kerjaya serta pendedahan pengalaman sebenar kehidupan Universiti.
Pelajar beramah mesra bersama anak-anak yatim dalam slot Program Belia Bersama Komuniti
Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata pengisian program dalam slot sharing session yang yang bermanfaat seperti Belia Terbina Melakar Masa Depan Negara, Prospek Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan Zaman Revolusi Industri 4.0 serta Memberdaya Potensi Belia Dengan Keusahawanan ini dapat melatih peserta dengan pengetahuan dan kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif bagi mengasah bakat keusahawanan dan kepimpinan supaya boleh menjadi mahasiswa yang holistik semasa pengajian di universiti kelak.
“Selain memfokuskan pelaksanaan program penentuan hala tuju pengajian dan prospek kerjaya, turut dilaksanakan slot Qiyamullail dan Program Belia Bersama Komuniti iaitu aktiviti merewang dan iftar bersama masyarakat seperti anak yatim dan komuniti di sekitar UPSI bagi mengimarahkan Ramadan dan menghayati kemanisan beribadah di bulan yang dinanti-nantikan” ujarnya lagi.
Pelajar sedang mengajar bacaan iqra’ bersama anak-anak yatim dalam slot Program Belia Bersama Komuniti
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata usaha ini menggalakkan peserta untuk membina jalinan hubungan yang luas dengan pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang berbeza agar kemahiran komunikasi serta diplomasi dapat ditingkatkan dan seterusnya melahirkan mahasiswa yang sentiasa komited, berintelektual dan kritis.
Pelajar beramah mesra bersama anak-anak yatim dalam slot Program Belia Bersama Komuniti
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berharap kerjasama antara UPSI dan MyFundAction akan berterusan dan bukan hanya tertumpu kepada program CSR misi bantuan bencana malah terbuka kepada semua aspek yang memberikan kesan besar kepada semua pihak.