Oleh: Fajrul Solehien

Tanjong Malim:  Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyantuni lebih 700 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sejurus selesai menunaikan solat tarawih dan moreh di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City semalam.

Ini adalah program jelajah Semarak Ramadan ke Institusi Pendidikan Tinggi yang sedang dilakukan oleh Dr Zambry bagi meluangkan masa dengan warga kampus sama ada melalui majlis berbuka puasa, solat terawih, moreh atau sahur.

Dr Zambry yang meluangkan masa lebih dua jam bertemu warga UPSI turut menyerahkan juadah moreh kepada pelajar dan jemaah yang hadir.

Beliau turut mengambil peluang bertemu dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir termasuk empat pelajar mobiliti antarabangsa dari Uzbekistan dan Hungary serta barisan pelari pecut negara yang kini sedang berkampung menjalani latihan di Kampus Sultan Azlan Shah.

Dr. Zambry beramah mesra bersama pelajar mobiliti antarabangsa dari Uzbekistan dan Hungary

Majlis anjuran Pusat Islam ini turut dihadiri Presiden Geely Talent Development Group (GTDG), Prof. Dr. Lu Dan, merangkap Presiden University of Sanya dan Timbalan Presiden GTDG, Prof. Dr. Zoe Che yang juga merupakan Presiden Xinwei Edutech.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr.  Md Amin Md Taff berkata majlis itu juga memberi kesempatan kepada warga UPSI untuk saling mengukuhkan silaturahim sempena bulan Ramadan selain bertemu kepimpinan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dr Zambry berbual santai bersama pelajar UPSI.

Dalam majlis ini turut diadakan penyampaian sumbangan oleh Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) kepada Kolej Aminuddin Baki UPSI, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pusat Islam.

Dr Zambry menyaksikan penyerahan sumbangan oleh Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif kepada Yang Dipertua MPP, Amirul Haiqal Amiruddin

Selain itu, Dr Zambry juga menyaksikan penyampaian Bantuan Duit Raya Tabung UPSI Prihatin (TUP) oleh Unit Kebajikan Bahagian Sumber Manusia UPSI kepada warga UPSI yang kurang bernasib baik.

Program Semarak Ramadan ini akan diteruskan ke kampus seterusnya selepas ini termasuklah di IPTA, IPTS dan Politeknik seluruh negara sehinggalah berakhirnya Ramadan.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Pro Canselor, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah; Pengarah Bahagian Hubungan Industri (BHI) KPT, Datuk Dr. Mohd Shahril Abdullah; Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (PBHEP) KPT, Hirman Awang@Semai serta Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Holding, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)