Oleh: Fajrul Solehien
Tanjong Malim: Pendakwah dan Motivator, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki hari ini menyarankan wanita memahami peranan wanita jika ingin masyarakat menghormati, menyantuni dan menyayangi mereka.
Ketika berkongsi ilmu dalam ceramah “Akukah Wanita Itu?” anjuran Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (PEWARIS) sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, beliau menasihati agar wanita perlu empati terhadap tanggungjawab suami mereka.
“Kita perlu faham, keutamaan nafkah si suami terbahagi kepada lima yakni dirinya sendiri terlebih dahulu, kemudian isteri, anak, bapa dan ibunya. Bukan milik kita semata” tambah beliau lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa wanita perlu mempunyai keazaman yang kuat, konsisten dan jangan pernah bosan bagi memastikan keluarganya sihat mental, emosi, akal dan juga kewangan.
Tambah beliau lagi bahawa setiap wanita perlu menjaga akhlak, penampilan dan pergaulan mereka seperti nasihat baginda Nabi Muhammad SAW yang juga meletakkan harapan yang tinggi kepada kaum hawa.
“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” Riwayat Abu Daud.
Beliau menyimpulkan bahawa antara ciri wanita solehah adalah sentiasa berpuas hati dengan segala nikmat dan ketentuan Allah bersesuaian dengan dengan firman Allah di dalam ayat 28 hingga 30 Surah Al-Fajr yang bermaksud :
“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!”
Dengan tema sambutan tahun ini ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua wanita yang menggalas pelbagai tanggungjawab sama ada sebagai isteri, ibu serta pelbagai bidang pekerjaan yang diceburi.
Sementara itu, Presiden PEWARIS, Prof. Madya Dr. Harozila Ramli menyeru agar wanita UPSI khususnya membina Malaysia Madani yang bahagia dan bersama-sama memperjuangkan kebitaraan universiti. Beliau mewakili PEWARIS UPSI sesi 2024/2025 turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan 1445H.