Oleh : Ali Azizi dan Hazim Haziq
E-Learning, UPSI – Insan yang berjaya adalah insan yang telah berjaya mengharungi ranjau dan liku, jatuh dan bangun serta onak duri yang menjadi warna untuk membina kekuatan fizikal dan mental. Perjalanan kehidupan yang panjang sudah semestinya membawa penceritaan kehidupan yang nyata. Sehubungan dengan itu, dalam kesempatan ini Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) sidang 23/24 dengan kerjasama English Language Society UPSI, Global Buddies UPSI, serta pelajar antarabangsa dari Philippine Normal University, Philippine, University of Cagliari, Italy dan Konkuk University, Korea telah menganjurkan sebuah program Story of My Life : Storytelling Competition 2024 pada 5 Mac 2024 hingga 20 April 2024.
Program ini telah berlangsung secara atas talian bermula pada 5 Mac 2024 sehingga 5 April 2024 dan majlis penutupan telah berlangsung pada 20 April 2024 di Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Video daripada tiga pelajar antarabangsa yang mewakili tiga negara turut dipaparkan pada majlis penutupan, menjadi sumber inspirasi bagi pelajar lain untuk bersatu dan menunjukkan bahawa, setiap pelajar, tanpa mengira di mana berada, mempunyai cerita yang membangkitkan semangat dan inspirasi.
Pertandingan Story Of My Life dianjurkan adalah untuk memberikan peluang kepada mahasiswa menonjolkan bakat mereka dalam bidang pengucapan awam secara berkesan, kreatif dan penuh keyakinan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pertandingan ini akan menjadi platform kepada peserta untuk berkongsi kisah-kisah inspirasi mereka di samping dapat memotivasikan mahasiswa lain menurut pengalaman dan pencapaian dalam kehidupan mereka sehingga berjaya pada hari ini dan sebagainya. Memetik kata-kata daripada pengarah program, Shaarmila Asokan, ‘Everyone has a story that deserves to be voiced, and that is the aim of this event, to provide students with the opportunity to share their stories’.
Encik Safwan Sarifbuddin, felo Kolej Ungku Omar merangkap penasihat program ini berkata “Ketekunan dan keazaman para pelajar dalam menyertai pertandingan ini secara atas talian pada awalnya, memberi kesan positif kepada mahasiswa yang menyertai khususnya kerana mengambil bahagian untuk menambah nilai diri serta memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk terus mencapai tujuan kehidupan dengan lebih baik.”
Hasil penilaian dari juri, En. Chang Siang Jack, tiga orang pemenang bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris telah dinobatkan. Bagi kategori Bahasa Melayu, johan telah disandang oleh Florence John Anderson manakala tempat kedua telah disandang oleh Muhammad Qayyum Bin Abdul Gahni @ Abdul Ghani dan tempat ketiga pula telah disandang oleh Muhammad Isyraf Firdaus Bin Hassim. Ketiga-tiga pemenang ini merupakan pelajar dari UPSI. Bagi kategori Bahasa Inggeris pula, johan Story of My Life telah disandang oleh Nur Rabiatul Adawiyah Binti Mohd Ramli dari UPSI. Tempat kedua pula telah disandang oleh Sandramalarjohn yang juga dari UPSI dan tempat ketiga bagi kategori Bahasa Inggeris telah dimenangi oleh Kishannash A/L Magespran yang merupakan pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS). Tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas usaha dan penglibatan mereka dalam pertandingan ini.
Dengan adanya program sebegini pada masa akan datang, secara tidak langsung mampu untuk menginspirasi dan memotivasi masyarakat untuk bertindak atau mengubah cara pandangan mereka terhadap sesuatu dan sering kali mengandungi pelajaran kehidupan yang berharga atau pembelajaran penting yang dapat membantu orang belajar dari pengalaman orang lain serta membantu meningkatkan keterampilan bahasa, pemahaman naratif, dan kemampuan berpikir kritis.