Oleh: Aida Najwa Zahidan

Melaka – Selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan Damai Alam melalui program Counselor on Wheel, Pusat Kaunseling dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan UPSI telah mengadakan Siri Jelajah Kaunselor- Counselor on Wheel. Siri jelajah ini yang telah bermula pada 17 April lalu telah memulakan penjelajahannya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Paya, Melaka. Program Counselor on Wheel ini bermatlamat untuk membawa barisan tenaga pakar Kaunselor Terlatih UPSI terus ke sekolah-sekolah di sekitar Malaysia.

Pada siri kali ini, Counselor on Wheel telah berkunjung ke SK Tambak Paya bertujuan untuk memberikan input dan pengetahuan kepada peserta mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental. Ketibaan Pusat Kaunseling ke SK Tambak Paya telah disambut baik oleh seluruh warga sekolah. Penjagaan mental seawal usia di sekolah rendah amat penting bagi memastikan murid-murid bersedia dan cakna tentang kesihatan diri mereka. Kesihatan mental yang baik akan mempengaruhi kehidupan dan cara berfikir mereka dalam setiap aspek. Bukan itu sahaja, program ini juga dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya buli dan gangguan seksual serta berkongsi cara untuk menanganinya dan mengatasinya.

Sesi ceramah mengenai penjagaan kesihatan mental telah dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi Klinikal UPSI, Fakhruddin Faris, manakala bagi slot motivasi mengenai bahaya buli dan gangguan seksual pula telah dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi UPSI, Ahmad Shazwi Ahmad Shukri. Siri kali ini telah melibatkan hampir 400 orang murid tahun lima dan enam.

Menurut Ketua Bahagian Pengangkutan UPSI Azlan Al-Hafiz Mazlan, “sebagai sebuah bahagian yang sentiasa bersedia untuk membantu warga UPSI dan komuniti, kami terpanggil untuk terus bersama Pusat Kaunseling dalam memberikan sumbangan kepada warga UPSI dan komuniti menggunakan aset dan kepakaran dalam usaha membantu kebitaraan UPSI.”

Selaras dengan namanya, program ini turut melaksanakan pameran mengenai penjagaan kesihatan mental di Bas Pameran Pendidikan. Kesempatan ini bukan sahaja dimanfaatkan oleh murid-murid yang terlibat,  malah barisan pentadbir dan seluruh warga sekolah SK Tambak Paya telah mengunjungi pameran yang telah disediakan. Diharapkan agar program seperti ini dapat membuka minda dan memberi pengetahuan kepada semua pihak tentang kepentingan penjagaan mental, serta lebih cakna tentang bahaya buli dan gangguan seksual.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)