Pulau Tuba, Langkawi: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama masyarakat Pulau Tuba sekali lagi bekerjasama melalui Program Warisan Ibu Kandung Suluh Budiman yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba.
Projek ini adalah kesinambungan daripada program University for Society (U4S) yang sebelum ini telah dilaksanakan pada tahun 2020 hingga 2022 yang kini dijenamakan semula sebagai Program IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNiTY).
\Program Warisan Ibu Kandung Suluh Budiman ini adalah hasil usaha bersepadu 16 orang yang terdiri daripada mahasiswa serta kakitangan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI.
Malah aktiviti ini mendapat kerjasama daripada Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad atau lebih dikenali Koperasi BesTuba.
Objektif utama program ini adalah menaik taraf ruang pusat sumber SK Pulau Tuba bagi memberi keselesaan kepada murid dengan menjadikan ruang bacaan ini ceria dan lebih kondusif.
Turut dilaksanakan adalah aktiviti gotong-royong pelupusan buku lama, penyusunan serta pelabelan semula buku sedia ada.
UPSI telah menyerahkan bahan bacaan sebanyak 450 naskhah bernilai RM3,000 beserta dua buah rak buku.
Melalui program yang sama 10 keluarga yang berpendapatan rendah turut dipilih untuk menerima barang keperluan asas persekolahan bagi meringankan beban keperluan harian mereka.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, Pengarah UCTC inisiatif ini bagi menyuntik semangat dan menjadi motivasi kepada murid-murid dari golongan kurang berkemampuan untuk memulakan langkah pertama ke alam persekolahan.
Semoga pelaksanaan program ini dapat menjadi manfaat berterusan kepada warga sekolah dan masyarakat setempat di Pulau Tuba.