Oleh: Aida Najwa Zahidan
Negeri Sembilan, 26 April 2024 – Jelajah Counselor on Wheel diteruskan lagi ke Sekolah Kebangsaan Nilai Impian, Negeri Sembilan. Seperti siri yang sebelumnya, siri jelajah Counselor on Wheel mensasarkan kumpulan murid sekolah rendah dalam memberikan pendedahan kepada mereka tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental. Pendedahan diperingkat awal dapat membantu untuk mengurangkan bilangan kes berkaitan kesihatan mental untuk jangka masa akan datang. Dalam memastikan program ini mencapai objektif yang ingin dicapai, perkongsian berkenaan dengan penjagaan mental telah diberikan dan kaedah untuk mengatasinya dititikberatkan.
Walaupun dalam lingkungan umur 9 hingga 12 tahun, terdapat kes berkaitan kesihatan mental yang direkodkan melibatkan murid dalam lingkungan umur ini. Perkara ini bukan sahaja menunjukkan situasi yang membimbangkan, malah mereka seharusnya tidak mengalami gangguan mental diusia yang sangat awal seperti ini. Oleh yang demikian, bagi memastikan jumlah tidak terus meningkat, pendedahan awal amat penting.
Dalam jelajah Counselor On Wheel yang dianjurkan oleh Pusat Kaunseling UPSI, pendekatan yang diambil dalam memberikan pendedahan ini sedikit berbeza. Pendekatan melalui sesi perkongsian dan permainan diambil bagi menarik minat murid-murid sekolah rendah agar mereka lebih peka dengan perkongsian yang akan diberikan.
Selain daripada perkongsian yang telah disampaikan oleh Pegawai Psikologi Kaunseling UPSI, Ahmad Shazwi Ahmad Shukri, pameran berkaitan kesihatan mental juga telah dilaksanakan di Bas Pameran Pendidikan UPSI. Alatan terapi yang akan digunakan semasa sesi terapi juga dipamerkan bagi memberi gambaran dan pengetahuan kepada mereka yang hadir untuk lebih mengetahui bagaimana sesi kaunseling dan terapi dilaksanakan. Oleh kerana pameran ini dilaksanakan bagi murid-murid sekolah rendah, alatan terapi yang digunakan dan dipamerkan juga sesuai dengan peringkat umur mereka.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Psychological First Aid (PFA) UPSI, Ahmad Shahrul Azril Mohd Yusof, program ini merupakan satu program yang memberi impak yang besar dalam memberi kesedaran terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah. Program seperti ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada murid-murid sekolah rendah yang terlibat supaya lebih menjaga kesihatan mental mereka, malah memberikan pendedahan kepada umum tentang masalah mental mampu memberi kesan kepada semua tanpa mengira lapisan umur.
Walaupun murid sekolah rendah tidak mempunyai beban tugas seberat golongan dewasa, namun akibat pengaruh sekeliling mampu memberikan tekanan sekali gus memberi kesan terhadap mental mereka. Oleh yang demikian, amat penting untuk mereka mengetahui cara untuk mengenalpasti dan kaedah yang dapat diambil untuk mengelakkan diri daripada mengalami kesihatan mental yang lebih teruk.